Oleh : Norhafizan Zulkifli
MARAN, 19 NOVEMBER 2025 : Pasangan pelajar kembar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran yang bakal menduduki SPM tahun ini menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas pemberian Kit SPM yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, di sini hari ini.
Bagi Muhammad Adam Haikal Mohd Shahrul Nizar, 17, dan kembarnya, Muhammad Adam Harris, 17, pemberian kit tersebut amat bermakna kerana dapat membantu mereka membuat persiapan menghadapi peperiksaan.

“Terima kasih pada Tok Wan lah, supaya saya dapat tulis benda-benda, lepas tu buat nota, supaya dapat ulang kaji balik pembelajaran. Saya akan buat yang terbaik lah,” kata pasangan kembar itu yang mengambil aliran Seni dan Tasawur.
Sementara itu, pasangan kembar lain, Emy Dinara a/p Kham Ting Choi, 17, dan kembarnya, Emy Diyara, 17, turut meluahkan rasa terharu menerima bantuan tersebut.
“Terima kasih kepada Tok Wan sebab bagi kit ni. Bagi saya, saya bersyukurlah dapat… senanglah.

“Saya akan lakukan yang terbaik dan akan guna sebaik mungkin untuk pemberian ni. Terima kasih. Akan buat yang terbaik lah untuk SPM ni,” katanya yang turut mengikuti aliran Seni dan Tasawur.
Seramai 107 calon SPM SMK Maran menerima Kit SPM sebagai suntikan semangat untuk mereka terus berusaha gigih dalam menghadapi peperiksaan SPM yang semakin hampir.
Program ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong kecemerlangan pendidikan generasi muda di negeri ini. -PAHANGMEDIA

