Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2025 : Majlis Makan Malam East Coast Region HR Visionary Award 2025 merupakan inisiatif bersama Pahang Corporate Management Service (PCMS) dan Malaysia Institute of Human Resource Management (MIHRM) bagi mengiktiraf penglibatan para pengamal sumber manusia di negeri ini.
Majlis tersebut menghimpunkan pengamal sumber manusia dari pelbagai syarikat di Pahang seperti PCMS, Tanah Makmur Berhad, MUIP Hotel Sdn. Bhd., Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK), Mentiga Corporation Sdn. Bhd., serta YP Plantation Holdings Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif PCMS, YH. Dato’ Abd Rahim Ahmad berkata, penganjuran majlis anugerah tersebut merupakan detik penting bagi komuniti pengurusan sumber manusia di negeri ini.
Katanya, penganjuran sulung pada tahun ini bermula secara kecil, sederhana dan komprehensif sebagai usaha mengangkat serta memberi pengiktirafan sewajarnya terhadap kecemerlangan dalam bidang sumber manusia.
“Kadang-kadang para pengamal sumber manusia kita kurang diberi perhatian dan penghargaan. Justeru, kita ambil peluang ini untuk mulakan satu bentuk pengiktirafan yang diharap dapat berkembang sehingga ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan yang berlangsung di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, malam tadi. Majlis turut dihadiri Presiden MIHRM, Encik Simon Thevaraj Benjamin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan majlis tersebut termasuk barisan juri yang bertanggungjawab menilai penyertaan serta mengekalkan amalan terbaik dalam proses penjurian.
“Alhamdulillah, kita melihat standard yang ditunjukkan oleh peserta tidak jauh berbeza dengan peringkat nasional. Saya berharap lebih banyak syarikat akan menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan pada masa akan datang.

“InsyaAllah, usaha ini akan diteruskan. Kita jangka tahun hadapan lebih banyak syarikat akan mengambil bahagian, dan kita berjanji kapasiti majlis pada tahun depan akan digandakan,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak enam anugerah disampaikan dan Tanah Makmur Berhad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan (Overall Excellence Award). -PAHANGMEDIA

