Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 20 OKTOBER 2025 : Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Tahun 2025 Peringkat Negeri Pahang bertujuan untuk tingkatkan kesedaran kepada masyarakat terhadap penyakit tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, kes kanser payudara di negeri ini terus mencatat peningkatan dengan ada kes yang dikesan seawal usia 22 tahun.
“Kalau ikut kita punya data untuk kanser payudara ini semakin meningkat untuk setiap tahun. Seawal umur 22 tahun kita sudah ada kes untuk penyakit ini dan dalam kita punya kajian dalam umur 40 ke 50 tahun.

“Lebih membimbangkan, lebih separuh daripada kes dikesan pada peringkat lewat, yang menyebabkan rawatan menjadi lebih sukar serta kadar kematian lebih tinggi.
“Atas sebab inilah, kesedaran masyarakat khususnya kaum wanita tentang kepentingan pemeriksaan awal dan saringan berkala sangat penting untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Tahun 2025 Peringkat Negeri Pahang di Kuantan Parade, semalam.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri terus memperkukuh usaha melalui pelbagai inisiatif bagi membantu masyarakat meningkatkan kesedaran terhadap penyakit kanser, khususnya kanser payudara.

“Di pihak Kerajaan Negeri sendiri kita ada program mammogram iaitu screening percuma maksudnya tanpa bayaran. Sekiranya kalau dari kawasan yang jauh, kita akan sediakan bas dan juga makan, dan kita akan hantar pulang semula dan sekiranya ada yang dapat kesan awal kita akan membuat rawatan seterusnya.
“Selain itu, kita juga melaksanakan program advokasi dan ceramah kesihatan di komuniti dan memberikan sokongan psikososial dan kaunseling kepada pesakit serta ahli keluarga. Itu adalah salah satu cara yang berkesan untuk membantu wanita di Negeri Pahang ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar lebih peka dan prihatin terhadap kesihatan diri masing-masing.
“Kesihatan adalah tanggungjawab kita bersama. Kanser ini datang secara senyap tanpa disedari, dan apabila dikesan, kadang-kadang sudah berada pada tahap yang serius.
“Sebab itu penting untuk melakukan saringan awal dan mempunyai kesedaran kendiri tentang tanda-tanda awal penyakit,” katanya. -PAHANGMEDIA

