Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUALA LUMPUR, 21 OKTOBER 2025 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail secara rasmi telah dilantik sebagai Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK), hari ini.
Pelantikan tersebut telah disampaikan semasa Mesyuarat MPUPK Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pelantikan tersebut akan dilaksanakan dengan penuh komitmen dan bertanggungjawab.
“InsyaAllah, saya akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh komitmen bagi membantu memperkukuh ekosistem keusahawanan negara khususnya dalam memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat,” katanya.
Menurut Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid, pelantikan tersebut juga selaras dengan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang membawa lebih sepuluh agensi berkaitan.
“Ini selaras dengan tugas Menteri KUSKOP yang mempunyai lebih 10 agensi untuk melakukan bukan sahaja penyelarasan di peringkat nasional juga negeri.
“Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bertanggungjawab meningkatkan pembangunan bidang keusahawanan,” katanya. -PAHANGMEDIA