Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 OKTOBER 2025 : Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Pentadbiran Tanah dan Daerah Negeri Pahang (SUKTAP) Kali Ke-6 Tahun 2025 yang melabuhkan tirainya malam tadi.
Dengan kemenangan itu, PDT Kuantan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta piala pusingan, menewaskan 11 kontinjen lain dari seluruh negeri.
Tempat kedua disandang oleh PDT Temerloh yang menerima hadiah RM10,000, manakala PDT Lipis di tempat ketiga dengan hadiah RM7,000.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, merakamkan ucapan tahniah kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian, khususnya kepada PDT Kuantan atas kejayaan muncul juara edisi kali ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada Kuantan yang menjadi juara. Seramai 1,350 orang yang mengambil bahagian dan kita adakan sukan ini secara dua tahun sekali, dwitahunan.
“Saya harap melalui sukan ini kita akan dapat meningkatkan lagi produktiviti kita dan saya juga berharap supaya dengan adanya aktiviti-aktiviti sebegini mengeratkan silaturahim dan dalam masa yang sama boleh meminimumkan stres di kalangan penjawat awam di negeri ini.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai merasmikan majlis penutup sukan berkenaan bertempat di Mini Stadium Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, di sini malam tadi.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, barisan pegawai daerah dan ketua-ketua jabatan.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan semua pihak yang menjayakan kejohanan tersebut, yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur… syabas dan tahniah kepada para peserta. Dan ini menunjukkan semangat kesukanan sesama kita.
“InsyaAllah dua tahun daripada sekarang yang ketujuh kita akan buat di Maran. Tadi kita telah buat pengundian dan Maran akan menjadi tuan rumah dua tahun daripada sekarang,” ujarnya.
Kejohanan kali ini dianjurkan oleh Kelab Pejabat Tanah Daerah Kuantan (PETANDA) dengan kerjasama Badan-Badan Kebajikan dan Sukan Pentadbiran Tanah Daerah.
Bertemakan “Bersatu Kita Juara”, SUKTAP 2025 mempertandingkan 13 acara sukan termasuk bola sepak, sepak takraw, congkak, karom, e-sukan dan pelbagai lagi. -PAHANGMEDIA

