Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang buat julung kalinya menganjurkan Seminar Aspirasi Pahang 1st membabitkan pelajar tingkatan enam seluruh negeri ini.
Menerusi inisiatif Akademi Pahang 1st, seramai sekitar 800 pelajar tingkatan enam dari empat buah daerah iaitu Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh menyertai seminar yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran seminar ini merupakan usaha baharu Kerajaan Negeri dalam memberi semangat, bimbingan dan motivasi kepada pelajar tingkatan enam agar lebih bersedia menghadapi peperiksaan STPM.
“Alhamdulillah melihat kepada semangat dan keupayaan mereka, Tok Wan nampak insyaAllah kita akan mencipta lagi satu sejarah untuk pelajar-pelajar tingkatan enam ini mendapat keputusan yang baik.
“Dan bagi pihak Kerajaan Negeri kita akan beri sokongan yang seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan Enam di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Tuan Haji Ahmad Zamri Md Isa dan ketua-ketua jabatan.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, pendidikan merupakan salah satu teras utama Aspirasi Pahang 1st di mana program seumpama itu katanya akan diadakan secara berterusan menerusi siri jelajah ke setiap daerah di seluruh negeri.
Dalam pada itu, penubuhan Akademi Pahang 1st turut diumumkan sebagai wadah melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berkarakter, berintegriti, berdisiplin dan berjiwa pemimpin.
“Mereka ini aset penting kerana mereka ini adalah pemimpin masa depan negara. Kita ingin melahirkan rakyat Pahang ni semuanya berpelajaran, berpendidikan tinggi kerana kita tahu hanya dengan pelajaran pendidikan sahajalah yang boleh mengubah nasib bangsa dan negeri kita.
“Kita nak menjadi pelajar kita daripada Pahang ni menduduki tempat yang teratas dalam bidang pendidikan. Sebab itu Kerajaan Negeri bagi sokongan yang sewajarnyalah,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA