Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 01 OKTOBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam pembangunan modal insan melalui pelaksanaan Program Industrial Mind Pahang 2025 yang memberi pendedahan awal kepada anak muda mengenai peluang kerjaya dalam pelbagai sektor.
Menurut Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, program ini dilaksanakan hasil perbincangan dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) sebagai langkah pembaharuan program sedia ada.
“Program Industrial Mind Pahang tercetus hasil perbincangan dengan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang) dan PahangGo sebagai langkah pembaharuan program State GLC. Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada anak muda Pahang agar mereka memahami serta merasai kejayaan pembangunan ekonomi negeri, sekali gus menjadi generasi pelapis masa depan.
“Itu sebabnya kita adakan program ini bagi mereka mendapat pendedahan awal bagi syarikat yang ada di daerah Kuantan dan apakah peluang mereka perlu siapkan diri mereka untuk merebut peluang tersebut,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Industrial Mind Pahang (IM Pahang @ Paya Besar) di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, Paya Besar hari ini.
Menurut beliau, program ini menggunakan pendekatan baharu berkonsepkan dari bilik darjah ke industri dengan membawa setiap kelas melawat kilang mengikut kecenderungan mereka.
“Kita punya pendekatan bilik darjah ke industri, kita hantar satu bas kepada satu kelas jadi kelas-kelas tersebut kita tahu ada kategori yang boleh ke TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) , kategori ke universiti dan sudah pasti ke kilang-kilang yang mempunyai level tertentu seperti first tier, second tier dan third tier.
“Bagi mereka yang mempunyai keupayaan kita akan letakkan mereka di kilang-kilang first tier seperti Petronas, Lynas dan RP Chemical yang membolehkan mereka mengetahui apakah persediaan mereka manakala bagi mereka yang ada sikit kecenderungan kepada TVET kita hantar kepada kilang-kilang yang lebih ke arah hands-on skill.
“Kita tak nak mereka hanya berakhir dengan pendidikan sahaja, tetapi kita nak pendidikan berakhir dengan pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan penyertaan seramai 1,640 pelajar dari 13 buah sekolah dari negeri ini telah menerima maklum balas yang sangat positif terhadap pelaksanaan program ini.
“Kita telah mengumpulkan seramai 1,640 pelajar-pelajar dari 13 buah sekolah yang terdiri daripada tingkatan empat dan tingkatan enam dan mereka telah pergi hampir 25 industri yang melibatkan kilang dan agensi dan respon yang saya terima daripada mereka sangat positif.
“Saya sempat melawat beberapa buah kilang dan agensi, dan saya sendiri nampak responnya, kalau saya tahu macam ini responnya, saya mesti lakukannya lebih awal daripada ini,” katanya. -PAHANGMEDIA