Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
PEKAN, 02 OKTOBER 2025 : Program MERDEKA Scavenger Hunt – Latihan untuk Guru anjuran Malaysian English Language Teaching Association (MELTA) dengan kerjasama DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia sebagai usaha memperkasa penguasaan bahasa Inggeris di samping menyemai nilai patriotisme dalam kalangan warga pendidik.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, program ini dianggap unik dan bermakna kerana ia menggabungkan nilai kebangsaan dengan pendekatan pembelajaran bahasa Inggeris yang kreatif dan dinamik.
“Nama program ini sendiri amat menarik dan penuh simbolik. MERDEKA merupakan satu perkataan yang cukup mendalam dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
“Inisiatif ini tepat pada masanya dan relevan. Dengan menggabungkan aktiviti digital dan fizikal, MERDEKA Scavenger Hunt bukan sahaja meningkatkan motivasi serta penglibatan pelajar, malah turut menyediakan konteks sebenar dan bermakna untuk penggunaan bahasa, yang merupakan kunci kepada penguasaan.
“Lebih penting lagi, program ini melangkaui aspek bahasa semata-mata. Ia memupuk semangat patriotisme, perpaduan, dan rasa hormat, nilai-nilai yang penting dalam membentuk warganegara yang beretika, penyayang, dan bertanggungjawab. Ini bukan sekadar matlamat akademik. Ini adalah usaha pembinaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian MERDEKA Scavenger Hunt – Latihan untuk Guru di DRB-HICOM University Of Automotive Malaysia, hari ini.
Tambah beliau, program MERDEKA Scavenger Hunt Latihan untuk Guru bukan sahaja menarik minat para pendidik, malah berjaya mengumpulkan penyertaan yang luas daripada pelbagai daerah di negeri ini.
“Saya difahamkan program ini dapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada 80 orang guru di seluruh Negeri Pahang. Ada yang datang daripada Temerloh, Bentong dan mereka hadir tanpa paksaan malah menggunakan peruntukan sendiri.
“Ini menunjukkan guru-guru kita ini begitu berdedikasi dan komited untuk memperbaiki diri, sentiasa berusaha untuk menambah baik ilmu pengetahuan supaya mereka boleh curahkan semula kepada anak-anak di sekolah.
“Dalam format ini, dia train the trainers maksudnya guru-guru yang terlatih di dalam program ini mereka boleh kembali ke sekolah masing-masing untuk membuat program yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru guru-guru agar menjadi duta bahasa dan patriotisme di sekolah masing-masing untuk terus menyemarakkan semangat dalam kalangan pelajar.
“Kepada semua guru yang hadir, saya menyeru agar anda menghayati sepenuhnya latihan ini. Jadilah duta patriotisme dan bahasa, serta bawa semangat ini pulang ke sekolah masing-masing untuk menyalakan api semangat yang sama dalam diri para pelajar,” katanya. -PAHANGMEDIA