Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PULAU PINANG, 27 SEPTEMBER 2025 : Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara YP Advanced Skills dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bagi pelancaran Malaysian Port Terminal Academy (MPTA) telah berlangsung bersempena Program Persidangan S-GLC Pahang 2025 bertempat di Bertam Resort & Water Park Resort, di sini hari ini.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pengurus Besar YP Advanced Skills, Hajah Nor Liza Abd Mubin berkata, MoU ini merupakan kerjasama strategik yang menyatukan kepakaran YP Advanced Skills dalam bidang kemahiran bersama pengalaman industri pelabuhan yang dimiliki oleh PTP.
“Sebenarnya ini adalah kerjasama strategik di antara YP Advance Skills dan PTP Pelabuhan Tanjung Pelepas di mana YP Advance Skills menggunakan kepakaran kami dari segi kemahiran dan dan juga kami berkolaborasi dengan PTP dari segi subjek ‘matter expert’ dan juga kepakaran mereka di dalam industri pelabuhan.
“Dan apabila melihat kepada industri pelabuhan yang sedang berkembang ini terutama sekali di Johor Selatan di mana kami melihat seperti PTP, mereka merupakan port yang tersibuk di Asia Tenggara dan tapi tiada pusat latihan yang berfokus dalam industri ini
“Oleh itu, kami mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama dengan PTP untuk memastikan adanya pusat latihan yang lebih berfokus dan lebih bertaraf antarabangsa, bertaraf global,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini hari ini.
Katanya, kerjasama dengan PTP bukanlah yang pertama sebaliknya YP Advanced Skills telah menjalin hubungan dengan PTP serta Westport sebelum ini dalam program latihan berkaitan operasi darat.
“Kami merasakan perlu ada satu struktur yang lebih kemas di mana kita mampu merancangkan untuk sumber manusia dalam bidang industri ini, dalam bidang pelabuhan ini untuk beberapa tahun akan datang.
“Dan bila ada perancangan sumber manusia yang lebih kemas, mudah untuk kita mengatur kursus-kursus yang sesuai dengan bidang yang kita perlukan,” ujarnya.
Menurut Hajah Nor Liza, YP Advanced Skills juga sentiasa menyahut aspirasi Kerajaan Negeri Pahang untuk menjadikan negeri ini sebagai hub latihan TVET, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Dan saya bagi pihak YP Advance Skills ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang yang sentiasa menyambut baik usaha-usaha kami untuk membantu belia-belia ini untuk latihan yang lebih progresif, lebih mantap,” katanya lagi. PAHANGMEDIA