Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
PULAU PINANG, 27 SEPTEMBER 2025 : Penganjuran kali ketiga persidangan S-GLC Negeri Pahang 2025 yang berlangsung selama tiga hari bertempat di Bertam Resort & Water Park, di sini mendapat penyertaan 340 peserta terdiri daripada Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) serta ketua jabatan negeri.
Komitmen yang diberikan kesemua peserta berkenaan sekali gus menunjukkan kesungguhan S-GLC untuk terus menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri dengan memberi sumbangan secara langsung kepada pelaburan, hasil negeri dan kesejahteraan rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bertemakan Memartabatkan Pahang: Berdaya Saing, Berdaya Tahan, Berjiwa Rakyat”, ia mencerminkan falsafah tadbir urus holistik yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan modal insan, budaya berprestasi tinggi, kecekapan pengurusan dan keprihatinan tulen terhadap rakyat.
“S-GLC bukan sekadar entiti perniagaan. Ia adalah antara tulang belakang ekonomi negeri yang berperanan besar dalam memacu pelaburan, menjana hasil, menyediakan peluang pekerjaan, dan pada masa sama menyumbang terus kepada pendapatan serta kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya ketika merasmikan persidangan berkenaan, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, S-GLC juga merupakan tulang belakang ekonomi negeri yang telah berjaya menyediakan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Malah, berdasarkan keuntungan cemerlang yang dicapai oleh S-GLC, terdapat beberapa buah syarikat yang telah berupaya membayar bonus melebihi lima bulan gaji,” katanya.
Beliau juga memaklumkan sepanjang tujuh tahun pentadbirannya, sebanyak lapan syarikat S-GLC baharu telah ditubuhkan termasuk Pahang Corporation, Pahang Go, Pahang Mining Corporation dan Pahang Gold selain lima badan berkanun negeri yang memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi serta kelestarian negeri.
Dalam pada itu, beliau menekankan pelaksanaan ESG (Environmental, Social & Governance) yang bukan lagi pilihan tetapi menjadi keperluan bagi memastikan kelestarian perniagaan, meningkatkan daya saing serta memberi pulangan mampan kepada kerajaan negeri dan rakyat.
Beliau dalam masa sama yakin persidangan kali ini akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama, menyusun semula strategi dan menetapkan hala tuju yang lebih jelas dan terarah dalam melahirkan S-GLC yang berdaya saing, berdaya tahan, lestari dan berjiwa rakyat.-PAHANGMEDIA