Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 24 SEPTEMBER 2025 : Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Raub hari ini menyaksikan penyelesaian 85 peratus masalah bekalan air di daerah ini dengan siapnya Loji Rawatan Air Semantan yang diserahkan secara rasmi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Majlis penyerahan tersebut disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di mana loji air berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 8,000 pemegang akaun di daerah ini.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, sasaran 90 peratus penyelesaian masalah air di Raub dijangka akan dapat dicapai sebaik sahaja Loji Rawatan Air Bilut siap kelak.
“So (jadi) dengan siapnya loji rawatan air ini, saya boleh katakan… dimaklumkan tadi, 85 peratus masalah air di Raub ini telah dapat diatasi. Ada lagi 15 peratus.
“Dan andainya loji rawatan air di Bilut akan dapat disiapkan, kita boleh kata 90 peratus (selesai),” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di tapak Loji Rawatan Air Semantan, di sin hari ini.
Majlis penyerahan berkenaan turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh dan barisan ketua-ketua jabatan.
YAB. Dato Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menegaskan sekiranya kelewatan berpunca daripada kontraktor bermasalah, mereka tidak akan diberikan peluang melaksanakan projek baharu di bawah PAIP.
“Jadi sebelum ini dah beritahu kalau sekiranya masalah kontraktor, kita pastikan kontraktor tersebut jangan diberi peluang lagi untuk untuk buat kerja-kerja yang akan datang dengan PAIP.
“Kalau sekiranya masalah kontraktor. Tetapi kalau sekiranya masalah lain… Covid… ada masalah selain daripada masalah kontraktor, yang itu kita akan pertimbangkan.
“Sebab ini melibatkan rakyat. Jadi bila rakyat tidak dapat bekalan air, rakyat akan marah kepada Kerajaan Negeri. Seolah-olah kita tidak cakna ataupun tidak peduli. Tetapi sebenarnya kita buat lebih daripada itu,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada PAIP yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari bersama pegawai serta seluruh warga kerja atas komitmen tinggi mereka dalam memastikan penyelesaian masalah air di seluruh negeri.
“Saya tahu pegawai, kakitangan PAIP kerja siang malam dan sebagainya. Tapi kadang-kadang dinafikan oleh setengah pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memburukkan imej PAIP dan imej Kerajaan Negeri.
“Dan saya sangat bersyukur dan terima kasih kepada PAIP yang dipimpin oleh Dato’ Saiful bersama dengan pegawai kanan, pekerjanya kerana hala tuju kita yang mensasarkan 90 peratus masalah air di Pahang ini akan dapat kita selesaikan,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA