Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 24 SEPTEMBER 2025 : Sumbangan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang yang disalurkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir, meringankan beban pasangan suami isteri yang turut menyambung pengajian di sana.
Pasangan suami isteri, Hafiz Syairazi Nasaruddin, 26, dan Aini Sofia Mat Yasin, 23, yang mendirikan rumah tangga tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga bulan bakal menyambung pengajian dalam jurusan Syariah Islamiah di universiti berkenaan.
“Alhamdulillah dengan berkat UniPSAS (Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah), kita dapat melanjutkan pengajian terus ke Al-Azhar dengan Muadalah iaitu MOU dengan Al-Azhar terus ke tahun ketiga.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan yang diberikan. Jadi sedikit sebanyak dapat membantu kami insya-Allah sebagai yang sudah berumah tangga… dengan kita kena ‘survive’ sendiri di sana, duduk di rumah menyewa sendiri,” kata pasangan yang mendirikan rumah tangga tahun lalu itu telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga bulan.
Seorang lagi penerima, Muhammad Adam Najib, 23, pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang bakal menyambung pengajian di Maahad Qiraat Syubra Univeristi Al-Azhar, Mesir, turut berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi banyak juga sumbangan kepada kami semua. Dan tidak lupa kepada pihak MUIP (Majlis Agama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang) yang juga bagi banyak sumbangan kepada kami.
“Insya-Allah sebab dengan perbelanjaan yang kerajaan bagi akan cukup untuk menampung perbelanjaan kami dari segi beli bukunya, dari segi penerbangannya dan lain-lain lagi,” katanya.
Sementara itu, Durrah Khairul Azmi, 21, juga pelajar MTNP yang turut akan melanjutkan pengajian ke Maahad Qiraat Syubra, berkata bantuan yang diterima sangat bermakna buat dirinya.
“Sangat membantu bagi saya. Terima kasih kepada Tok Wan dan Kerajaan Negeri Pahang atas bantuan yang diberikan yang sedikit sebanyak dapat membantu kami untuk ‘survive’ di sana,” katanya.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bertempat di perkarangan Majlis Daerah Raub.
Dalam pada itu, seramai 60 pelajar dari negeri ini akan menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir tahun ini terdiri daripada 45 pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), empat pelajar MTNP dan 11 pelajar UniPSAS. -PAHANGMEDIA