JERANTUT, 24 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Program FGV Seikhlas Hati-Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan sumbangan kumpulan FGV di Pusat Pendidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 11.00 pagi disambut Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa; Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyaksikan akad bayaran zakat perniagaan FGV bagi haul 2024 dan penyerahan cek bernilai RM4.87 juta yang diserahkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
FGV turut menyerahkan sumbangan RM2 juta lagi disalurkan terus kepada komuniti di negeri Pahang melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti pembinaan 10 unit rumah baharu untuk asnaf, sumbangan kepada 15 institusi pendidikan, kerja naiktaraf Masjid PPPTR bernilai RM100,000, pelaksanaan Projek Hijrah Asnaf bersama MUIP dan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) bernilai RM500,000 serta sumbangan RM100,000 kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan cek sumbangan kepada 30 orang penerima serta menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 100 orang asnaf dari sekitar daerah Jerantut.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan melawat makmal dan menerima persembahan taklimat operasi, menyempurnakan simbolik penanaman pokok sawit Pisifera sebelum ke Lysimeter bagi pelepasan burung hantu. -PAHANGMEDIA