CAMERON HIGHLANDS, 11 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menegaskan pengusaha pertanian di Cameron Highlands perlu mengutamakan amalan berteraskan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan hasil mereka kekal diterima di pasaran antarabangsa.
Paduka Baginda bertitah, kegagalan mematuhi elemen ESG boleh menyebabkan produk pertanian tempatan ditolak negara luar.
“Di sini saya juga nak menegaskan supaya kebun-kebun di Cameron Highlands perlu menukar corak pertanian kerana dunia sekarang semakin canggih memandangkan aspek ESG ini perlu kita terapkan.
” Tanpa elemen ESG ini mungkin produk yang kita keluarkan ini tidak akan dapat dijual di peringkat antarabangsa. Ia sudah berlaku kerana saya sudah dimaklumkan.
” Dari semasa ke semasa ada produk dari Cameron Highland tidak dibenar keluar daripada negara kita khususnya kepada Singapura dan negara-negara lain, jadi ini satu kebimbangan,” titah Paduka ketika merasmikan Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) Agropark Fasa 1 di Tringkap, di sini, hari ini.
Dalam titah sama, Paduka Baginda menegaskan satu pendekatan baharu perlu dirangka melalui kerjasama kerajaan, pakar pertanian serta pekebun bagi meningkatkan kaedah dan corak pertanian di kawasan tanah tinggi itu.
“Kita perlu lihat ini secara serius dan terperinci selain perlu ada satu pendekatan yang baharu. Saya harap dengan kerjasama pihak kerajaan, pakar pertanian serta para pekebun di sini perlu ada libat urus.
“Perlu ada perbincangan untuk meningkatkan corak atau kaedah yang tepat di Cameron Highlands ini. Ini adalah nasihat saya dan harap ia diambil kira secara serius. Ini bukanlah satu bahan lawak kerana ia melibatkan masa depan dan juga keadaan geografi di Cameron Highlands ini, “titah Paduka Baginda. -PAHANGMEDIA