Oleh : Aimi Syafiqa Khairi & Syaherah Azmi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 11 SEPTEMBER 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang dengan kerjasama TM akan melancarkan aplikasi digital Pahang Destina, menjadikan Pahang negeri pertama di Malaysia menggunakan teknologi AI (Artificial Intelligence) dalam sektor pelancongan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man, aplikasi ini dibangunkan selaras dengan perkembangan teknologi digital dan menjadi platform pintar untuk mempromosikan pelancongan, makanan, budaya serta acara utama negeri.
“Ini adalah kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang dengan Telekom Malaysia (TM) untuk satu aplikasi digital yang perkenalkan dan mempromosikan produk-produk pelancongan di negeri Pahang. Ianya selari dengan arus yang berlaku sekarang dimana teknologi AI berkembang dengan begitu pesat pada hari ini.
“Pengguna-pengguna aplikasi ini akan mendapat maklumat tentang tarikan di negeri Pahang bukan sahaja dari segi tempat pelancongan, makanan dan budaya dan pada masa yang sama istimewanya aplikasi digital ini adalah kita juga akan dapat maklumat daripada kerajaan negeri melalui Tourism Pahang iaitu apa yang berlaku atau yang sedang berlaku kempen atau program yang akan menarik pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bertemu di Majlis Pra-Pelancaran Pahang Destina Inisiatif Pelancongan AI bersama Tourism Pahang di Swiss-BelHotel, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada peringkat awal ia menumpukan kepada tiga lokasi pelancongan utama iaitu Kuala Lipis, Cerating dan Bukit Fraser, sebelum diperluaskan secara berperingkat.
“Setakat ini kita fokuskan tiga tempat pelancongan iaitu Kuala Lipis, Cerating dan Bukit Fraser dan dari semasa ke semasa kita harap akan bertambah kerana Pahang begitu banyak tempat dan kita akan membuat ujian untuk menambah baik pulih aplikasi ini.
“Sebenarnya hari ini adalah pra-pelancaran dan secara rasmi perancangan kita adalah kita akan melancarkan pada bulan 10 nanti sempena pelancaran Kempen Tahun Melawat Malaysia di peringkat Negeri Pahang,” katanya.
Turut hadir, Pengarah, Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Negeri Pahang, En Mohd Fharid Saidu dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, En Mohd Azizul Arif Hj. Yahaya. -PAHANGMEDIA