leh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Azdhar
PEKAN, 30 OGOS 2025 : Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telaah mengeluarkan sebanyak 3,182 notis 32B di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1973 dengan nilai kompaun sebanyak RM379,617 terhadap pengendali makanan dan pemilik restoran di seluruh negeri ini setakat Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, berkata tindakan tegas itu bagi memastikan tahap kebersihan makanan sentiasa dipatuhi sekali gus mengurangkan risiko keracunan dalam kalangan masyarakat.
“Setakat Jun ini juga, premis yang ditutup adalah sebanyak 194 buah dengan Kuantan mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 44 buah.
“Kebanyakkan kesalahan ini melibatkan kesalahan pengendali makanan tak pakai apron, pakai cincin, gelang, tidak pakai kasut dan sebagainya,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) yang diadakan di Dataran Pekan Bandar Diraja, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, serta Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr. Saiful Azlan bin Haji Sharif.
Tambahnya lagi, setakat Ogos ini, sebanyak lima kes keracunan makanan telah dilaporkan di negeri ini melibatkan daerah Kuantan (1), Temerloh (2), Rompin (1) dan Bera (1).
Beliau dalam pada itu mengingatkan kepada pengendali makanan dan pemilik premis makanan agar sentiasa mematuhi peraturan pengedalian makanan yang telah ditetapkan
“Kesannya bukan sahaja kepada pelanggan yang boleh mengalami keracunan, tetapi juga kepada pengendali makanan sendiri kerana terpaksa menanggung kerugian apabila premis ditutup dan dikenakan kompaun.
“Justeru, saya menyeru semua peniaga supaya mematuhi peraturan ditetapkan bukan sahaja dari aspek kebersihan makanan tetapi juga persekitaran tempat berniaga,” jelasnya. -PAHANGMEDIA

