Oleh: Norhafizan Zulkfili
Foto: Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 30 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi menyediakan buku rujukan dan buku latihan kepada 23,784 pelajar SPM, STPM dan STAM di seluruh negeri di bawah Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang).
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata inisiatif julung kali diadakan itu dilaksanakan bagi memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang keluarga, mendapat akses bahan pembelajaran tambahan yang berkualiti.
“Kerajaan Negeri merasakan bahawa kena bantu kerana didapati tidak semua anak-anak kita yang menduduki peperiksaan mampu untuk membeli buku rujukan dan sebagainya danmereka terpaksa meminjam dan ini kurang keselesaan bagi mereka untuk fokus terhadap pelajaran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Buku Rujukan dan Buku Latihan SPM, STPM dan STAM di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Menurut YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, empat mata pelajaran utama diberikan keutamaan dalam fasa pertama pelaksanaan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
“Sekarang kita fokus kepada empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Yang penting, kita akan diteruskan untuk tahun-tahun yang akan datang
“Yang lain (mata pelajaran) itu saya akan mendapat pandangan daripada Pengarah Pendidikan dan juga saudara saya, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi, untuk kita tambah lagi atau kita teruskan dengan empat subjek tadi,” katanya lagi.

Beliau juga berkata, buku berkenaan dihasilkan oleh guru-guru pakar dengan bimbingan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan dirujuk kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi memastikan kandungannya menepati kehendak kurikulum serta berkualiti tinggi.
“Sebab ianya bukan satu perkara yang boleh kita rasa nak buat, kita buat. Tak boleh, sebab kalau kita tersilap buat, tersilap cetak, atau tersilap pendekatannya, dia punya kesan itu sangat tinggi kepada pelajar-pelajar kita. Sebab itu kita mengambil masa untuk membuat buku rujukan ini sehingga dapat ianya direalisasikan dan kita lancar pada hari ini,” jelasnya.
Inisiatif ini juga katanya turut memanfaatkan setiap kategori masyarakat tanpa mengira latar belakang sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pendidikan di Pahang
“Ini bukti lagi satu bahawa kita bukan bercakap sahaja. Bukan kita retorik mengatakan kita nak hapuskan buta huruf dan sebagainya, malahan kita buat dan kita laksanakan.
“Memang daripada dulu lagi saya bersama dengan rakan-rakan saya dalam kepimpinan Kerajaan Negeri, kita bersama memastikan supaya kita buat kerja untuk rakyat, supaya rakyat dapat melihat. Sebab itu saya katakan prestasi harus menjadi ukuran rakyat semasa mereka menilai kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

