Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Azdhar
PEKAN, 30 OGOS 2025 : Program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang (DMMSNP) akan menjadi platform dalam usaha Kerajaan Negeri menjadikan negeri ini sebagai destinasi kulinari negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, program tahun pertama diadakan ini bukan sahaja memberi jaminan keselamatan makanan kepada pengguna, malah diyakini mampu melonjakkan sektor pelancongan dan industri makanan tempatan.

“Tujuan kita buat ini sudah pastilah untuk memastikan keselamatan dan kebersihan serta pematuhan terhadap semua aspek pengedalian makanan dan ini melibatkan semua kilang-kilang makanan, katerer, restoran, gerai-gerai makanan dan lain-lain lagi.
“Sebenarnya program ini banyak memberi manfaat. Pertama, kepada pengguna yang datang untuk mencuba menu-menu di Negeri Pahang dan keduanya, membantu kepada mempromosikan pelancongan di mana ia secara tidak langsung menarik minat dan memberi keyakinan kepada pelancong datang ke Pahang dan menikmati pelbagai jenis makanan di negeri ini ini disamping membantu juga para usahawan meningkatkan lagi hasil jualan.
“Selain itu juga, kita juga tahu Pahang banyak makanan yang autentik dan kita nak jadikan Pahang sebagai destinasi kulinari makanan dengan pelbagai maknanan tradisi seperti gulai tempoyak, gulai asam rong dan kuih muih sepeti puding raja, disamping makanan moden yang popular dalam kalangan generasi muda seperti kopi dan variasi piza yang ada,” katanya selepas selesaikan merasmikan majlis berkenaan bertempat di Dataran Pekan Bandar Diraja, di sini hari ini.

Majlis terbabit turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Saiful Azlan Haji Sharif.
Menurut YB. Dato’ Ir. Razali lagi, buat permulaan, lima premis di setiap daerah akan dipilih untuk menerima pengiktirafan dengan logo khas yang membezakan mereka sebagai penyedia makanan selamat.
“Program ini bekerjasama juga dengan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan lain-lain agensi termasuk Pejabat Agama Islam Daerah dan sebagainya.. ada jawatankuasanya yang menilai kedai ataupun gerai makanan ini.
“Untuk peringkat awal ini kita sasarkan lima premis perniagaan di setiap daerah. Gerai yang terpilih ini kita akan letak logo dan akan sentiasa dipantau secara berkala dan program ini berterusan setiap tahun dan tahun depan kita akan pilih 55 buah premis lagi,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

