Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 29 OGOS 2025 : Peserta Projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli di negeri ini menikmati peningkatan pendapatan dividen yang ketara sejak ianya diambil alih oleh Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), September tahun lalu.
Secara keseluruhannya, peserta kini menikmati dividen jauh lebih tinggi iaitu antara RM900 hingga RM1,037 seorang berbanding hanya sekitar RM100 hingga RM500 seorang sebelum pengambilalihan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan itu membuktikan keberkesanan langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan pengurusan projek yang lebih cekap serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat Orang Asli.
Menurut beliau, sehingga 20 Ogos 2025, sebanyak 20 projek TSK dengan keluasan 7,054.05 ekar telah selesai diambil alih, melibatkan seramai 1,323 peserta.
“Pendapatan dividen peserta tertinggi dicatatkan bagi Projek TSK Orang Asli Teluk Gunung, Lipis di mana setiap peserta menerima bayaran RM1,037 seorang pada bulan Julai 2025, berbanding sekitar RM500 seorang sebelum ini.
“Sementara itu, bagi Projek TSK Orang Asli Kampung Arung, Pekan yang mula diambil alih pada 11 September 2024, setiap peserta telah menerima bayaran dividen mencecah RM1,000 seorang pada Disember 2024.
“Bagi Projek TSK Orang Asli Kuala Koyan, Lipis pula, pembayaran dividen pertama pada November 2024 adalah sebanyak RM900 seorang dan meningkat kepada RM1,000 seorang pada Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, projek-projek baharu yang diambil alih pada Ogos 2025 dijangka mula mengagihkan dividen pertama kepada peserta pada September ini.
Peningkatan dividen ini didorong oleh pengurusan yang lebih berkesan di bawah ORACO serta kenaikan harga pasaran minyak sawit mentah dunia.
“Peningkatan ini jelas membuktikan bahawa pengambilalihan pengurusan oleh Kerajaan Negeri adalah langkah yang tepat, berkesan serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Kejayaan pengurusan TSK ini adalah bukti nyata bahawa Kerajaan Negeri sentiasa serius membangunkan masyarakat luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli agar mereka tidak lagi terpinggir dalam arus pembangunan negeri,” katanya.
Kejayaan ini juga selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pembangunan negeri berteraskan kemakmuran bersama, kesejahteraan rakyat, serta memastikan tiada golongan ketinggalan dalam arus pembangunan.
Beliau turut menyeru masyarakat Orang Asli agar terus memberi keyakinan dan sokongan kepada ORACO dalam usaha menjamin masa depan mereka yang lebih baik, terjamin dan sejahtera.
“Hanya melalui keyakinan dan sokongan bersama, usaha yang dirancang dapat menjamin masa depan yang lebih baik, lebih terjamin dan sejahtera,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

