Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 OGOS 2025 : Seramai 2,813 murid tingkatan enam semester satu di 37 kolej dan pusat tingkatan enam seluruh Pahang menerima manfaat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan jumlah keseluruhan RM421,950 tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, berkata bantuan itu merupakan inisiatif pertama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam bagi sesi persekolahan 2025/2026.
“BAP ini adalah kali pertama untuk tingkatan enam kerana sebelum ini penerimanya hanya dari tingkatan satu hingga Tingkatan Lima.
“Jadi pada tahun 2025 inilah kali pertamanya pihak kementerian, pihak kerajaan menyalurkan bantuan kepada tingkatan enam bawah dan enam atas.
“Untuk Pahang, semua sekali jumlah bantuan RM421,950 yang melibatkan 2,813 orang murid tingkatan enam semester satu di 37 buah kolej atau pun pusat pengajian tingkatan enam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, YBhg. Dato’ Ahmad Suhaimi Endut merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2025 Peringkat Negeri Pahang di Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Astana, di sini, hari ini.
Menurutnya, serahan BAP bagi negeri Pahang telah diagihkan kepada Pegawai Pendidikan Daerah melibatkan 11 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan pecahan terbesar adalah PPD Kuantan berjumlah RM103,950 diikuti PPD Temerloh (RM51,000) dan PPD Maran (RM42,300).
“Jadi pihak Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian kerana mengambil cakna, mengambil berat tentang keperluan para pelajar kita dan yang baiknya penerima ini tidak mengira kategori (latar belakang keluarga), semua dapat,” katanya lagi.
YB. Dato’ Ir. Razali juga memaklumkan kerajaan juga meningkatkan kadar BAP daripada RM100 kepada RM150 bagi setiap pelajar, selaras dengan peningkatan kos sara hidup masa kini.
“Sudah pastilah niat baik pihak kerajaan itu tujuannya adalah untuk meringankan beban kepada ibu bapa dan para pelajar juga boleh membeli kelengkapan, keperluan kepada pelajaran dia. Jadi harap semua para pelajar ini memanfaatkan sepenuhnyalah bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan.
“Dan bantuan juga telah meningkat dari RM100 kepada RM150, maknanya kerajaan prihatin melihat daripada kita punya peningkatan kos hari ini jadi telah meningkatkan bantuan daripada RM100 kepada RM150,” ujarnya.
Secara keseluruhan, lebih 100,000 pelajar Tingkatan Enam seluruh negara menerima manfaat BAP dengan jumlah peruntukan kira-kira RM15 juta. -PAHANGMEDIA

