Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 OGOS 2025 : Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang yang bakal berlangsung di Padang MBK 1 pada 31 Ogos ini dijangka lebih meriah dengan pelbagai kelainan.
Ini termasuk pertunjukan payung terjun oleh Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta bacaan ikrar oleh veteran tentera yang pernah menyaksikan laungan “Merdeka” oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada tahun 1957.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, berkata keunikan itu akan memberi pengalaman berbeza kepada masyarakat berbanding perbarisan sebelum ini.
“Tahun ini ada beberapa kelainan. Saya lihat ada acara pertunjukan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ada pertunjukan payung terjun dari udara yang akan dikendalikan oleh pihak komando TUDM ataupun pihak PASKAU.
“Dan itu amat menarik… dari segi pertunjukan kereta perisai dan sebagainya bersama dengan latihan askar yang berada dalam kereta perisai, situasi tebus tawanan dari pihak pengganas dan sebagainya.
“(Selain itu)antara kelainan ialah pembaca ikrar yang akan dibaca oleh seorang veteran tentera yang berada di ambang Merdeka sebenar pada hari perayaan Merdeka yang pertama iaitu pada 31 Ogos 1957.

“Dan veteran ini memang ada di Stadium Merdeka ketika itu melihat dan menyaksikan sendiri Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan “Merdeka”, ertinya hari pertama kita menjadi sebuah negara berdaulat yang bebas dari cengkaman penjajah,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan raptai penuh di lokasi berkenaan, hari ini.
Menurutnya, raptai yang dijalankan berjalan lancar dan pihak penganjur akan menambah baik beberapa perkara kecil bagi memastikan majlis sebenar berlangsung dengan lebih tersusun.
“Pada raptai ini kita berpeluang untuk melihata perjalanan perbarisan tersebut untuk memastikan semuanya berjalan dengan rapi, berjalan dengan lancar supaya kita dapat menambah baik apa yang patut sekiranya ada kelemahan ataupun ada yang perlu diambil perhatian lebih elok kita perbaiki sekarang sebelum ‘D-Day’, hari kejadian yang sebenarnya, insyaAllah,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Pahang khususnya penduduk sekitar Kuantan, Pekan dan daerah berhampiran supaya hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.
“Saya dengan rendah diri menyeru semua orang ramai rakyat negeri Pahang terutamanya yang berada di sekitar bandar Kuantan khususnya ataupun yang mana berada di daerah berjiranan itu, seperti Pekan dan daerah-daerah yang berdekatan.
“Mohon sama-sama kita meramaikan majlis pada 31 Ogos untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada negara dan sayangnya kita kepada Tuanku, kepada negeri Pahang. InsyaAllah kita dapat meramaikan, mengimarahkan dan menjadikan perbarisan Merdeka perbarisan yang kita akan ingat sampai bila-bila,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

