Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 17 OGOS 2025 : Lebih 3,000 anak Pahang di perantau menyertai Larian Tok Gajah Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Acara yang dianjurkan oleh Sekretarian Perantau Anak Pahang itu dilepaskan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada kira-kira jam 7 pagi
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut tidak melepaskan peluang menyertai larian berkenaan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori tiga kilometer dan lima kilometer selain turut disertai oleh anak-anak orang kelainan upaya (OKU).
Katanya, penganjuran Larian Tok Gajah itu pada kali ini turut digabungkan dengan Larian Negaraku yng berjaya menarik hampir 7,000 peserta keseluruhan berkumpul di Dataran DBKL.
“Alhamdulilah kehadirannya sangat menggalakkan, di luar dari jangkaan. Larian Tok Gajah mencecah 3,000 dan larian Negaraku hampir 3,000 membanjiri Dataran DBKL.
“Ini jelas menunjukkan semangat cintanya kita semua kepada negara dan kepada negeri pahang khususnya dan Larian Tok Gajah ini melambangkan bahawa solidariti anak-anak Pahang yang berada di luar Pahang ataupun di perantauan amat kukuh, amat kuat,” katanya ketika ditemui media selepas acara pelepasan larian berkenaan.
Hadir sama, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Tambahnya, acara itu akan dijadikan program tahunan selepas edisi pertama tahun lalu berjaya mengumpulkan lebih 2,000 peserta dan meningkat kepada lebih 3,000 pada tahun ini.
“Kita menamakan larian ini Larian Tok Gajah kerana melambangkan haiwan yang sangat berani dengan semangat berpasukannya begitu kukuh, dan (Tok Gajah) merupakan pahlawan dari negeri Pahang. Dan insyaAllah acara ini kita akan adalan secara tahunan dan ini adalah kali kedua.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua anak-anak Pahang yang berada di perantaun kerana turut serta untuk mengambil bahagian di dalam Larian Tok Gajah. Inilah semangat yang kita nak supaya anak-anak Pahang walaupun di mana sahaja meraka berada, semangat mereka, kasih sayang daan cintanya kepada negeri Pahang tetap utuh dan kukuh,” ujarnya. -PAHANGMEDIA