Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 17 OGOS 2025 : Pahang julung kalinya menganjurkan Kejohanan Memancing Peringkat Antarabangsa Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025 dengan menarik 121 peserta dari dalam dan luar negara.
Menurut satu kenyataan media oleh Tourism Pahang, kejohanan ini juga mempunyai keistimewaan tersebdiri memandangkan spesis sotong ini dikenali dengan cabaran unik serta nilai komersialnya yang tinggi.
“Sejarah tercipta di negeri Pahang apabila Kejohanan Memancing Peringkat Antarabangsa Pahang International Green Eye Squid Hunting 2025 dianjurkan buat julung kalinya bertempat di Jeti Shahbandar, Kuantan.
“Acara anjuran Persatuan Memancing dan Rekreasi Darul Makmur dengan kerjasama Tourism Pahang ini menyaksikan penyertaan pemancing dari dalam dan luar negara, khususnya peminat aktiviti memancing sotong Green Eye yang dikenali dengan cabaran unik serta nilai komersialnya yang tinggi.
“Sotong Green Eye ini istimewa kerana mempunyai corak badan yang menarik dan berwarna-warni, menjadikannya mudah dikenal pasti dalam kalangan spesies lain. Selain itu, ia memiliki keupayaan luar biasa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran laut, menjadikan ia sukar ditangkap dan memberi cabaran sebenar kepada para pemancing berpengalaman,” menurut kenyataan tersebut.
Majlis pelepasan kejohanan telah dilaksanakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man, dan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah dilakukan oleh Pengurus Besar Tourism Pahang, Tuan Kamaruddin Ibrahim.
Kejohanan yang bertemakan pertandingan berpasukan, denga. setiap kumpulan dibenarkan disertai seramai maksimum lima orang peserta dengan yuran penyertaan sebanyak RM2,500 ini turut menarik empat peserta dari Jepun yang bersaing bersama peserta-peserta daripada 14 buah negeri di Malaysia dengan jumlah bot keseluruhan sebanyak 21 buah.
Menurut YB Puan Leong Yu Man, kejohanan ini diharapkan dapat dijadikan acara tahunan yang ikonik dan meletakkan Kuantan dalam peta pelancongan maritim antarabangsa.
Pahang turut dikenali dengan keindahan persisiran pantainya yang membentang sejauh 210 kilometer dari Kuantan hingga ke Rompin, menjadikannya destinasi pelancongan maritim yang amat berpotensi.
Manakala Rompin pula terkenal di peringkat antarabangsa sebagai lokasi utama bagi aktiviti memancing ikan layaran, yang menjadi tarikan utama kepada pemancing tegar dari dalam dan luar negara.
Menurut kenyataan berkenana, selain mempromosikan sukan memancing sebagai aktiviti rekreasi dan pelancongan, kejohanan ini turut membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, termasuk nelayan, pengusaha bot, peniaga kecil serta penyedia perkhidmatan pelancongan. -PAHANGMEDIA