Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 17 OGOS 2025 : Penganjuran Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 di Pahang mencerminkan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor kesihatan berasaskan teknologi digital di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim, inisiatif ini sejajar dengan hasrat menjadikan Pahang sebagai negeri Digital Ready melalui peluasan capaian liputan 4G dan 5G yang menyokong pembangunan kesihatan.
“Kini, menerusi penganjuran Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025, usaha ini akan dipacu dengan lebih pantas, diperluas, dan diperkukuhkan selaras dengan Pelan Digital Pahang untuk menjadikan negeri ini Digital Ready.
“Melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan oleh MCMC, kadar liputan 4G di negeri ini telah hampir mencapai 100 peratus (99.5 peratus) hasil daripada pembinaan 270 menara baharu sejak tahun 2021 dan penaiktarafan 902 stesen pemancar sedia ada dari teknologi 2G dan 3G kepada 4G di kawasan pinggir bandar, luar bandar, pedalaman, jalan raya dan kawasan pelancongan. Liputan 5G pula diperluaskan melalui pemasangan 360 stesen pemancar 5G, yang telah memberikan capaian 66.4 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk di negeri Pahang.
“Memandangkan projek pembangunan infrastruktur digital melalui JENDELA telah tersedia dan memberi manfaat besar kepada rakyat Pahang, usaha ini akan diperluaskan bagi membantu menangani cabaran kesihatan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pahang bukan sahaja menyediakan capaian internet kepada komuniti, malah menawarkan pemeriksaan kesihatan asas percuma kepada rakyat.
“Pusat Sebaran Maklumat Nasional atau dikenali sebagai NADI di Pahang yang dibangunkan oleh MCMC kini bukan sahaja menyediakan capaian internet secara kolektif kepada komuniti, tetapi turut dilengkapi teknologi saringan kesihatan melalui Program Kesejahteraan Kendiri yang membolehkan pemeriksaan asas dilakukan secara percuma oleh rakyat.
“Bukan itu sahaja, di masa hadapan, MCMC dengan kolaborasi KKM juga akan melaksanakan kiosk telekesihatan di NADI dan penghantaran ubat menggunakan dron, yang akan memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan dengan lebih mudah dan efisien,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Swiss-BelHotel, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar memanfaatkan geran yang disediakan melalui Program GDPM Fest 2025 demi kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan untuk mengambil peluang besar ini dan memanfaatkan geran yang disediakan sementara masih ada supaya kita dapat menuju era baharu penjagaan kesihatan yang lebih cekap, mudah diakses dan dipacu teknologi moden demi kesejahteraan rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA