Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai & Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 16 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang hari ini melancarkan Beras Pahang yang merupakan beras prebiotik pertama yang dihasilkan di negara ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Beras Pahang yang dihasilkan mempunyai kelainannya yang tersendiri selain lebih istimewa berbanding beras dihasilkan di negeri lain.
“Kelebihannya adalah kadar kandungan gula yang sangat rendah dan mereka yang menghidap diebetes boleh menggunakan beras ini. Boleh makan beras pahang ini.
“Dan ia punya benih pun lain daripada yang lain. Sudah tentu kita nak buat lain dari biasa… Lain dari Kedah, lain dari Selangor.
“Kita nak promosikan bahawa Beras Pahang ini ada kelebihan, ada keistimewaannya berbanding beras dari Kedah, dari Selangor, dari Kepala Batas dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan beras berkenaan bersempena Majlis Perasmian Mini MAHA Pahang 2025 bertempat di Dataran Temerloh, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; serta barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Beras Pahang sudah mula berada di pasaran namun pengeluarannya masih terhad.
“Dah mula berada di pasaran tapi kita tidak mengeluarkan banyak jadi mungkin tidak sampai ke tempat lainlah.
“Memang ada kilang menghasilkan Beras Pahang di Rompin. Bergantung kepada pengeluaran. Kalau cukup, kita utamakan negeri Pahang dahulu dan kemudiannya barulah kita edarkan ke negeri lain.
“Sebab mendapat sambutan yang begitu baik… semua orang ingin berebut Beras Pahang,” katanya lagi.
Beliau turut memaklumkan Beras Pahang dijual pada harga RM10 sekilogram, namun bersempena perasmian Mini MAHA Pahang 2025 hari ini, ia ditawarkan pada harga promosi RM8.
Dalam pada itu, Beras Pahang ditanam di Jelapang Padi Ganchong, Pekan dengan keluasan 161 hektar menggunakan benih varieti MR269 dan dituai setia dua kali setahun. -PAHANGMEDIA

