Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 16 OGOS 2025 : Kerajaan Pahang mengumumkan penganjuran Mini MAHA Pahang diangkat dan dijenamakan semula sebagai MAHA Pahang mulai tahun hadapan berikutan sambutan luar biasa yang diterima daripada orang ramai dalam penganjurannya di Dataran Temerloh, di sini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran kali pertama ini berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung, melebihi jangkaan awal iaitu seramai 50,000 orang.

“Kedatangan lebih dari jangkaan jadi sebab itu kita merasakan Kerajaan Negeri harus meneruskan Mini MAHA Pahang ini. Kita akan jenamakan kerana ini bukan standard ‘mini’… ‘Mini’ ini kecil. Ini dah standard MAHA Pahang.
“Tahun depan kita akan buat MAHA Pahang. Kita akan tambah baik, (Mini MAHA Pahang 2025) dah baik dah (tetapi) kita tambah baik lagi. Kita tidak akan berpuashati dengan apa yang kita buat, jadi kita akan tambah baik. Venue (tempat) kita akan tukar tempat lain,” katanya selepas merasmikan Mini MAHA Pahang Tahun 2025, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak selaku ‘tulang belakang’ penganjuran program itu bersama ketua-ketua jabatan serta agensi terlibat.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan menjadikan MAHA Pahang berkenaan sebagai acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
“Kita akan buat setahun sekali sebab sambutannya sangat baik dan inilah peluang yang kita rasakan kita berkongsi dengan rakyat apa yang kita buat.
“Apa yang pengusaha buat kita harus berkongsi dengan rakyat supaya mereka tahu bukan sahaja rakyat di Pahang tetapi juga di luar Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

