Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 15 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus melaksanakan pendekatan secara kolaboratif bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan di mana Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) akan mengetuai semua operasi bersama dengan jabatan negeri ini.
Menurut YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, namun demikian pelaksanaan ini bersifat dua hala di mana jabatan negeri juga boleh mengetuai penguatkuasaan dengan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada pihak UPNP dan ia dilaksanakan bagi memastikan ketirisan hasil daripada sumber asli dan pendapatan negeri dapat dikurangkan semaksima mungkin.
“Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Jabatan-jabatan Negeri di bawah bidang kuasa Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS).
“Tujuan utama mesyuarat ini adalah untuk menyelaras tindakan penguatkuasaan, memastikan pemantapan operasi, meningkatkan keberkesanan tindakan bersepadu dan memperkukuh kerjasama strategik antara jabatan dengan pendekatan secara kolaboratif.

“Pendekatan secara bersepadu atau secara kolaboratif ini bermaksud UPNP akan mengetuai sebarang bentuk penguatkuasaan bersama melalui kerjasama dengan jabatan-jabatan negeri di mana UPNP telah diperkuatkan lagi dengan penempatan semula 11 orang Penolong Pegawai Undang-Undang. Walaubagaimanapun, jabatan-jabatan negeri boleh juga mengetuai penguatkuasaan dengan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada UPNP. Perkara ini dilaksanakan bagi memastikan ketirisan hasil daripada sumber asli dan pendapatan negeri dapat dikurangkan semaksima mungkin,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memastikan semua pihak termasuk syarikat besar mematuhi kewajipan membayar cukai tanah yang ditetapkan dan tindakan tegas akan diambil kepada yang ingkar.
“Kerajaan Negeri Pahang juga terus komited memastikan semua pihak termasuk syarikat-syarikat besar menunaikan tanggungjawab membayar cukai tanah demi menjamin keadilan kepada rakyat yang mematuhi kewajipan tersebut.
“Sehubungan itu, tindakan tegas seperti pelucutanhak dan rampasan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap pihak yang ingkar.

“Secara umumnya, pelanggaran kepada mana-mana undang-undang di bawah negeri, tindakan tegas sehingga kepada pendakwaan di mahkamah akan diteruskan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang beriltizam memastikan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negeri ini dilaksanakan secara berkesan, cekap, dan berintgriti.
“Kerajaan beriltizam untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan di negeri ini dilaksanakan secara berkesan, сеkар dan berintegriti agar kepentingan rakyat dan kelestarian sumber negeri terjaga,” katanya.
Mesyuarat ini menghimpunkan ketua-ketua jabatan dan agensi penguatkuasaan negeri iaitu Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang (PTG), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Negeri Pahang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Turut terlibat, Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), dan Badan Kawal Selia Air Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

