Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 OGOS 2025 : Program Pahang International Scout Scarf Festival (PISSF) 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan hari ini mencatat sejarah dengan kehadiran hampir 25,000 peserta daripada 12 negara.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, peningkatan penglibatan pada tahun ini memperlihatkan perkembangan yang positif sekali gus membuka peluang lebih luas dalam usaha mempromosikan sektor pelancongan serta merancakkan ekonomi Negeri Pahang.

“Tokwan (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) lihat dari rekod tahun lepas bermula 2023 hanya 8,000 (peserta) sekarang sudah meningkat kepada 25,000. Bagi Tokwan dan Kerajaan Negeri Pahang, kecil tapak tangan, bandar Kuantan kami tadahkan untuk anak-anak pengakap hadir ke Negeri Pahang.
“…ini satu program yang sangat baik, kita boleh memupuk semangat sayangkan negara kita dan semangat sayangkan negeri kita. Itulah yang Tokwan harapkan, bukan sahaja keadaan (meriah) mereka di sini tetapi akan berlaku limpahan ekonomi.

“Dalam masa yang sama, kita boleh mempromosikan negeri kita kerana mereka akan dapat lihat sendiri apa yang telah ada di Negeri Pahang dan sekali gus boleh menepis sekiranya ada tuduhan liar yang mengatakan Pahang tidak membangun,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa penganjuran ini membuktikan komitmen pihak penganjur dalam melahirkan generasi muda yang berdisiplin, bersemangat serta mempunyai jati diri yang tinggi.

“Terima kasih kepada pihak penganjur yang berjaya menganjurkan program ini. Bukan mudah kerana ramai yang datang.
“Tujuan kita tidak lain tidak bukan untuk menyemaikan supaya anak-anak mempunyai disiplin yang tinggi, menghormati orang lain dan supaya meraka akan menjadi pemimpin di masa depan nanti,” katanya.

Beliau turut menasihatkan anak muda yang menyertai festival ini untuk menghargai hubungan silaturahim bagi bersama membangunkan negara dan negeri.
“Kepada anak-anak muda yang ada di sini, Tokwan ingin menasihati mereka supaya ikatan silaturrahim, persahabatan, harus hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Jadi bagi Tokwan, persahabatan itu penting, ikatan silaturrahim itu penting, kerana dengan adanya persahabatan dan ukuwah, membolehkan kita bersama-sama membangunkan negara dan negeri kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pahang International Scout Scarf Festival (PISSF) 2025 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) yang turut dihadiri, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal. -PAHANGMEDIA

