Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 15 OGOS 2025 : Kerajaan Pahang mengambil langkah tegas dengan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan di negeri ini bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, larangan itu dibuat selepas tempoh kelonggaran sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan peniaga menghabiskan stok sedia ada.
“Kita dapati banyak yang disalahgunakan sama ada di peringkat sekolah, melibatkan anak-anak muda. Jadi Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini sebab masa hadapan rakyat negeri ini.
“Dan di pihak Kerajaan Tempatan mengambil pendekatan bahawa kita dah bagi masa sehingga hujung tahun. Tahun hadapan kita tidak lagi mengeluarkan lesen-lesen kebenaran menjual vape di premis-premis perniagaan. Maknanya tindakan penguatkuasaan juga mesti dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Pasar Segar Serambi Teruntum di sini, hari ini. Majlis turut dihadiri Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli serta wakil agensi berkaitan.
YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas keprihatinan Paduka Baginda yang sering menekankan bahaya vape dalam titah ucapannya.
“Dalam ucapan-ucapan Paduka Baginda selalu menyentuh tentang masalah penyalahgunaan vape ini, jadi sebagai Kerajaan Negeri, kita mengambil langlah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan titah ucapan tersebut dapat kita laksanakan sebaik mungkin di negeri Pahang ini,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri merancang melaksanakan projek Waste to Energy (WTE) di dua tapak di negeri ini iaitu di Kuantan dan Temerloh.
Projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan konvensional dan menyokong sasaran negeri sifar bersih karbon (net zero) menjelang 2030.
Bagi fasa pertama, projek WTE akan dibangunkan di Kuantan yang menerima kira-kira 600 tan sisa sehari, dan dijangka mencecah 1,000 tan sehari apabila melibatkan sisa dari daerah Rompin, Pekan dan Kuantan. Tapak cadangan adalah di Gebeng, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

