Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat mampu menjadikan negeri ini sebagai hab pelaburan, perindustrian dan logistik utama di Pantal Timur.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek berkenaan juga dapat menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi wilayah khususnya di Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri menyambut baik pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi wilayah, khususnya di Negeri Pahang.
“Tujuh buah stesen ECRL yang dibangunkan di Negeri Pahang dilihat mampu menampung keperluan industri berdasarkan pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development – TOD), iaitu Stesen ECRL Bentong, Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City dan Cherating.
“Perancangan pembangunan secara tersusun di setiap stesen serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak berkepentingan akan memastikan inisiatif ini membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata dalam projek ini, stesen ECRL Bentong akan dihubungkan dengan Kawasan Perindustrian Bentong yang dibangunkan secara berfasa melibatkan kawasan seluas 177.25 hektar.
“Pembangunan di kawasan stesen ini akan memfokuskan kepada industri berat dan sederhana yang berpotensi memanfaatkan kemudahan logistik ECRL untuk pengangkutan dan akses pasaran.
“Stesen ECRL Temerloh dibangunkan berhampiran dengan beberapa kawasan perindustrian sedia ada seperti Kawasan Perindustrian Temerloh, Songsang, dan Kampung Sempadan. Kawasan ini dikenal pasti untuk pembangunan pelbagai jenis industri, termasuk industri perabot dan pemprosesan, dengan potensi sebagai nod logistik wilayah tengah.
“Stesen ECRL Maran dilihat berpotensi dibangunkan sebagai pusat pengumpulan mineral seperti bauksit, emas, silika dan bijih besi. Selain itu, stesen ini akan turut diketengahkan dalam kluster industri pemprosesan dan pembungkusan minyak sawit memandangkan lokasinya yang strategik iaitu di kawasan pengeluaran sawit,” katanya.
Tambah beliau, bagi stesen ECRL Paya Besar pula dilihat akan menjadi tumpuan pembangunan industri berimpak tinggi menerusi tiga kawasan utama iaitu Pahang Technology Park (PTP), Gambang Halal Park (GHP), dan Kompleks Makanan Halal atau Bengkel IKS dimana ia menyasarkan industri ringan, sederhana dan berat serta telah pun dilengkapi dengan kemudahan infrastuktur asas.
“Stesen ECRL KotaSAS akan menyokong perancangan pembangunan di KotaSAS meliputi pusat pertumbuhan perbandaran baharu, perumahan bersepadu dan mampu milik serta pusat komersial dan perniagaan moden. Stesen ini juga terletak berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang akan menjadi nadi pentadbiran baharu Negeri Pahang.
“Stesen ECRL Kuantan City Port akan menjadi hab logistik utama yang menghubungkan ECRL ke Pelabuhan Kuantan melalui laluan tambahan (spur line). Stesen ini akan menyokong pembangunan kawasan perindustrian seperti Gebeng, MCKIP dan MCKILP yang memfokuskan industri berat termasuk petrokimia, Oil and Gas (O&G) dan pembuatan berskala besar.
“Stesen ECRL Cherating dilihat mampu menyokong pembangunan pelaburan dalam sektor pelancongan pesisir pantai, hospitaliti dan ekopelancongan. Stesen ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui pelancongan di kawasan Cherating,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Rizal Jamin pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

