Oleh : Norhafizan Zulkifli
MARAN, 29 JANUARI 2026 : Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) 2026 Daerah Maran memberi impak besar kepada rakyat setempat dalam menyuarakan permasalahan secara terus kepada kepimpinan negeri, sekali gus menerima maklum balas segera daripada jabatan berkaitan.
Sesi Town Hall sempena PSRM bersama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar yang diadakan di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 2, di sini, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar.
Sesi berkenaan turut disertai YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh serta ketua-ketua jabatan negeri Pahang yang bersedia memberi penjelasan terus terhadap isu dibangkitkan rakyat.
Penyelaras DUN Kuala Sentul, YH. Dato’ Mukaram Shah Zainuddin berkata, PSRM merupakan pendekatan terbaik kerajaan negeri dalam mendekati rakyat hingga ke peringkat akar umbi.
“Sebagai anak peroka Felda Ulu Jempul, saya melihat sendiri program ini memberi impak besar kepada masyarakat. Ini julung kali Maran merasai program sebegini sejak hampir dua tahun ia berlangsung.

“Apa yang dapat saya perhatikan satu program yang begitu baik,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.
Tambahnya, sesi sebelah petang yang bermula jam 2.30 petang itu paling memberi manfaat apabila rakyat diberi ruang terbuka mengemukakan isu dan cadangan secara terus.
“Yang menariknya, sebahagian soalan terus dijawab oleh wakil jabatan yang hadir dan jawapan itu memberi kepuasan kepada rakyat. Isu yang belum dapat diputuskan pula akan dibawa ke peringkat negeri untuk dibincangkan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang kerana menginspirasikan program yang disifatkan sebagai realisasi sebenar Aspirasi Pahang 1st.
“Jadi saya selaku anak peroka dan juga kepimpinan masyarakat di sini, terima kasih banyak-banyak yang tidak terhingga kepada YAB. Dato’ Sri Diraja kerana mempunyai satu idea yang saya kira terbaiklah.
“Betullah Aspirasi Pahang 1st tu sampai ke kampung-kampung. Jadi tahniah dan syabas supaya Pahang terus maju jaya. Pahang 1st,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Sungai Nerek, Encik Sapian Hussin berkata, penganjuran PSRM memberi keyakinan kepada rakyat kerana masalah dapat disuarakan secara terus kepada pihak berautoriti.
“Sejak pagi hingga petang, sambutan amat menggalakkan. Semua ketua dan pengarah jabatan hadir dan saya sendiri berpeluang mengajukan masalah yang dihadapi.
“Setakat yang saya tahu, hanya Pahang melaksanakan pendekatan seperti ini. Harapan saya supaya program sebegini diteruskan agar rakyat sentiasa bersama pemimpin,” katanya. -PAHANGMEDIA

