Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 OGOS 2025 : Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perikanan Negeri Pahang menawarkan ganjaran kepada mana-mana pihak yang berjaya mendapatkan ikan patin muncung hidup bagi tujuan pembiakan semula susulan spesies berkenaan kini berada di ambang kepupusan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, patin muncung amat sukar diperoleh pada masa ini dan dipercayai semakin pupus akibat pelbagai faktor termasuk ancaman spesies ikan asing invasif.
“Antara ikan yang masuk kelompok kepupusan ialah ikan patin muncung. Amat sukar diperolehi. Sebab itu saya seru ahli dewan dalam ini, kalau ada ikan patin muncung hidup, minta supaya usahakan serah kepada Jabatan Perikanan.
“Kita akan bayar ganjaran kerana kita mahu induk ini menghasilkan telur. Kita ada pendekatan kita nak hasilkan benih, tapi mesti ada induk,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB. Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badaruddin pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, dalam masa sama Kerajaan Pahang memandang serius ancaman spesies ikan asing invasif, khususnya baung ekor merah yang berpotensi memusnahkan ekosistem dan mengancam kelestarian ikan asli di sungai negeri ini.
“Masalahnya baung ekor merah ini makan semua jenis spesies ikan asli yang ada dalam sungai dan membesar dengan begitu cepat. Tapah contohnya, dia tak makan semua jenis ikan (jadi) ikan asli kita tak pupus, tak terjejas.
“Begitu juga dengan ikan gahak, ada makan, tapi tidak semua. Tetapi baung ekor merah, ia makan semua, sebab itu ia spesies cukup bahaya. Kalau biarkan, ikan asli kita akan pupus,”
Katanya lagi, antara langkah jangka panjang yang dilaksanakan bagi memulihara spesies ikan asli di sungai negeri ini adalah dengan mewujudkan enam kawasan santuari ikan di Tanjung Gahai, Kuala Serau, Lubuk Kulit, dan Aur Gading di Lipis serta Kuala Sat dan Kampung Pagi di Jerantut. Ini di bawah seliaan Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Kerajaan Negeri juga katanya turut memperkenalkan program kesedaran dan kempen memancing baung ekor merah secara besar-besaran, termasuk Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah dengan menawarkan hadiah kepada pemenang.
Selain itu katanya, Jabatan Perikanan Negeri Pahang telah menetapkan larangan tangkapan ikan Temoleh atau Temelian mulai bulan Februari hingga April di semua perairan sungai Negeri Pahang selaras dengan peruntukan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Negeri Pahang.
“Ada tempoh spesies ikan yang mengeram, bertelur. Kalau ada tangkap, kita kena lepaskan. Etika (tanggungjawab) kita sendiri, demi untuk masa hadapan kita,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

