Oleh : Ain Nadhirah Basha & Syaherah Azmi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 OGOS 2025 : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian kepada segala pemasalahan yang berlaku di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, PBT juga diingatkan supaya tidak kekal berada di zon selesa memandangkan banyak cabaran yang perlu ditangani dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

“Kita tahu bahawa ahli-ahli majlis daerah dan bandar ini merupakan mata dan telinga kerajaan yang boleh membantu kerajaan untuk membawa permasalahan daripada rakyat dan ini membolehkan kita mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Sebab itu saya disebutkan supaya jangan berada di zon selesa kerana tugas kita semakin hari semakin banyak, semakin mencabar, dan kita harus memberi harapan kepada rakyat Negeri Pahang dan mereka pun menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi dan pencapaian yang dicapai oleh PBT di negeri ini setakat ini namun menegaskan ia merupakan satu proses yang berterusan.
“Itu adalah satu (proses) yang berterusan, ia bukan setakat dinoktahkan 12 peratus (peningkatan kutipan hasil).
“Prestasi, saya rasa bangga dengan apa yang telah mereka sumbangkan setakat ni cuma jangan berada di zon selesa, tingkatkan lagi sebab ianya adalah endless proses yang tidak ada penghujungnya.

“Kita harap mereka buat yang terbaik sebab majlis daerah, macam-macam, indicate dia tak sama. Yang penting ada peningkatan, dan kita pun rasa bangga bila ada empat daerah dinobatkan sebagai daerah yang bahagia dan saya harap ianya dapat ditingkatkan lagi dan jangan kurang daripada empat (daerah),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kali Ke-2 di Hotel Grand Darul Makmur.
Hadir sama, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

