Oleh: Aimi Syafiqa Khairi & Syaherah Azmi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 12 OGOS 2025 : Tapak cadangan projek pembangunan di Batu 55 di sini dilihat sebagai lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan Hospital Maran, setelah penelitian semula dilakukan oleh Kerajaan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, antara kawasan tapak cadangan projek pembangunan fasiliti kesihatan tersebut termasuklah di Kampung Lubuk Paku, Kampung Teras, dan Kampung Bintang.

“Jadi daripada keempat-empat kawasan yang kita tengok tadi, saya nampak yang dah dilaksanakan kajian awal ialah di Batu 55. Saya nampak kawasan ini lebih berpotensi untuk dilaksanakan.
“Saya harap pihak reka bentuk Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya dapat turun sekali lagi dan kaji balik reka bentuknya dengan option yang kedua di lokasi yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan ke tapak cadangan Hospital Maran di sini, semalam.
Beliau berkata, projek pembinaan Hospital Maran di tapak berkenaan akan dibangunkan setinggi empat tingkat yang dilengkapi dengan 76 katil.

“Saya telah melawat ketiga-tiga kawasan termasuk dengan satu lagi cadangan (kawasan) iaitu tanah yang sudah ada hak milik iaitu di Kampung Bintang.
“Luas tapak yang diluluskan oleh kerajaan 35.4 ekar (14.33 hektar) dan anggaran katil yang boleh menampung hospital empat tingkat adalah 76 buah katil.
“Untuk kos awalan, RM400 juta dan JKR telah mengirakan kos projek sebanyak RM435 juta iaitu melebihi RM35 juta daripada kos sebenar,” katanya. – PAHANGMEDIA

