Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 11 OGOS 2025 : Pahang kini memiliki lebih 300 ekor lembu wagyu hasil projek ternakan di Ladang Ternakan Ruminan Syarikat AGK Dairy Fresh Sdn. Bhd dekat Bukit Kajang, di sini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah berkenaan merupakan yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Katanya, projek yang dimulakan dua tahun lalu itu membuktikan potensi besar industri ternakan wagyu di negeri ini.
“Syabas… tahniah diucapkan kepada Abdul Ghafar Khan (AGK) yang berjaya melaksanakan program ternakan lembu wagyu ini sehingga kita mendapat hasilnya.
“Dan insyaAllah sekarang ada 300 (ekor), insyaAllah dalam masa dua tahun boleh mencecah sebanyak 1,000 ekor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan ladang berkenaan dan mendengar taklimat perkembangan projek wagyu negeri ini, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan barisan pimpinan setempat.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan penuh termasuk bantuan berkaitan bagi memastikan Pahang menjadi juara ternakan wagyu di Malaysia.
“Kerajaan Negeri akan bagi sokongan. Tadi saya telah mendengar taklimat dan ada beberapa perkara yang perlu bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri Pahang. InsyaAllah kita akan bantu supaya kita akan jadi juara dalam ternakan lembu wagyu di negara kita, insyaAllah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, selain di Raub, projek seumpana turut dijalankan di Tanjung Gahai, Lipis dan bakal diperluas ke kawasan lain seperti di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta.

“Walaupun di daerah lain seperti di Rompin juga ada (ternakan lembu wagyu), tetapi kita nak bagi dia banyak di Pahang Barat sebab kita dapati (ternakan wagyu) sesuai dengan keadaan cuaca di sini,” katanya lagi.
Katanya lagi produk hiliran daripada lembu wagyu mempunyai nilai pasaran tinggi dan mampu menjana keuntungan.
Beliau turut mengalukan cadangan syarikat AGK untuk membuka restauran berhampiran ladang berkenaan sebagai salah satu tarikan pengunjung ke ladang berkenaan.
“Saya minta dipercepatkan kerana ia akan menjadi tarikan pelancong. Ini akan membolehkan orang datang sebab ini yang pertama di Semenanjung Malaysia dan sudah pasti orang akan teruja sekiranya dapat sampai ke sini,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

