Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 8 OGOS 2025 : Penerimaan geran hak milik tanah bukan sahaja mengiktiraf hak peneroka, tetapi menjadikan masa hadapan mereka dan generasi seterusnya lebih terjamin.
Peneroka Felda Lepar Hilir 4, Othman Ismail, 59, menzahirkan penghargaan atas usaha Kerajaan Negeri merealisasikan hasratnya untuk memiliki geran hak milik tanah selepas selama 40 tahun penantian.
“Saya nak ucapkan terima kasih kerana berusaha untuk kita dapatkan geran ini, sekian lama kita menunggu selama 40 tahun. Hari ini kita berjaya dapatkan geran hak milik.

“Bila ada geran ini masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita memang terjamin. Dulu tiada geran kita rasa tak confident (yakin),” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik Tanah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir, di sini hari ini.
Bagi seorang lagi peneroka Felda Lepar Hilir 4, Encik Shahbudin Lah, 59, pula menyifatkan penyerahan hak milik ini sebagai detik bersejarah selepas hampir 15 tahun penantian.
“Kalau ikut ke hati tu, dia punya gembira nak melompat atas pentas tadi terima geran. Memang saya betul-betul bersyukur dan terima kasih kerana hari ini hari yang bersejarah bermakna dapat hak milik.
“Alhamdulillah lah, dah lama tunggu. Hampir 15 tahun lebih nak dapatkan geran ini. Dua kali saya mohon.

“Walaupun saya ni bukan asal Negeri Pahang. Tapi menetap di sini bermakna saya memang akan jadi rakyat Pahang sepenunya,” katanya.
Sementara itu, seramai 246 peneroka di sekitar daerah ini menerima suratan hak milik tanah yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan SMK Lepar Hilir 1, Kuantan, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah serta barisan pimpinan setempat. -PAHANGMEDIA

