Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 05 OGOS 2025 : Pemantauan secara berterusan melibatkan kawasan Hutan Simpan Kekal, tanah kerajaan, dan tanah hak milik seluas hampir 8,093 hektar dilakukan dalam Ops Sekat 4.0 di Daerah Raub bagi mengelakkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, modus operandi kali ini melibatkan tindakan penguatkuasaan penebangan durian haram, pembukaan tujuh pos kawalan sekatan bagi pemantauan pengeluaran hasil durian, serta rondaan bersepadu pegawai penguatkuasaan secara fleksibel mengikut pos pemeriksaan di kawasan terlibat.

“Kita pergi tadi dua kawasan di mana telah dilakukan penebangan durian haram seluas 165 ekar. Pada 21 Julai 2025 kita dah mula beroperasi, dan operasi ini kita teruskan lagi di kawasan tersebut.
“Saya difahamkan di check point, kita adakan rondaan di kawasan yang berkeluasan hampir 20,000 ekar (8,093 hektar). Kawasan ini amat luas tapi rondaan tetap kita buat dari semasa ke semasa.
“Dan difahamkan, pukul 4 pagi pun ada rondaan dibuat. Jadi ia mengikut kesesuaian masa yang fleksibel bagi menjamin tidak berlaku apa-apa pelanggaran dan pengeluaran hasil durian haram (mengikut prosedur),” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa berpuas hati dengan pelaksanaan oleh anggota penguatkuasa terlibat dalam operasi berkenaan ketika melakukan pemeriksaan di beberapa pos pemeriksaan.
“Jadi check point ini kita memfokuskan kepada keluar masuk terutama keluar, hasil durian-durian, supaya yang dikeluarkan itu mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Saya amat puas hati dari segi pemeriksaan yang dibuat, saya pun tadi ada melihat dokumen-dokumen yang perlu, yang wajib untuk pihak yang mengeluarkan durian untuk kawalan.
“Saya percaya dengan ada check point ini kita dapat memperkemaskan lagi aktiviti-aktiviti pengeluaran hasil-hasil durian dibawah kawalan dalam operasi ini.
“Jadi kita ada disini anggota-anggota yang terdiri daripada pihak Pejabat Daerah Tanah (Raub) sendiri, pihak Rela, Pejabat Hutan, polis, dan PGA, di mana pihak ini membuat pemeriksaan kepada aktiviti pengeluaran berdasarkan dari segi SOP yang telah ditetapkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

