Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 05 OGOS 2025 : Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan secara haram di mana-mana kawasan melibatkan semua hasil bumi di negeri ini.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, pihak yang didapati melakukan kesalahan berkenaan akan dituduh di mahkamah dan bukan lagi dikenakan kompaun bagi menunjukkan ketegasan Kerajaan Negeri dalam menangani isu ini.
“Setakat 21 Julai 2025 (permulaan Ops Sekat 4.0 di Daerah Raub) kita telah membuat beberapa tangkapan. Yang melibatkan (pencerobohan) tanah kerajaan ada dua kes, dalam hutan simpan ada satu kes, dan ada satu kes di bawah jenayah dan imigresen yang sekarang ini dalam peringkat penyediaan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada mahkamah untuk dibuat pendakwaan.

“Jadi saya menekankan disini seperti mana saranan daripada pihak Kerajaan Negeri, kita akan teruskan kepada peringkat pendakwaan. Disini Kerajaan Negeri bersikap tegas kepada apa-apa pelanggaran, pencerobohan dalam isu ini.
“Dan seperti mana titah Kebawah Duli Tuanku baru-baru ini dari segi penguatkuasaan, menitahkan, tidak akan berkompromi ataupun akan bersikap lebih tegas kepada apa-apa pencerobohan sama ada atas tanah kerajaan, tanah hutan simpan,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang akan terus melaksanakan tindakan secara tegas dan agresif bagi memastikan aktiviti pencerobohan haram di negeri ini tidak lagi berlaku.

“Jadi unit UPNP (Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang) akan bersikap lebih agresif berdasarkan undang-undang yang ada ini bagi menjamin supaya tidak lagi berlaku pencerobohan yang selama ni ada dan kita cuba sedaya upaya kita,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga komited dalam membanteras aktiviti ini dengan mengadakan operasi secara berterusan hasil sokongan daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Sebenarnya operasi ini kita kerap buat, daripada dulu lagi, tapi perkara ini masih wujud lagi. Tapi apa pun kita akan meneruskannya. Dengan titah Tuanku, dengan sokongan kepada Kerajaan Negeri Pahang sepenuhnya ini oleh YAB Menteri Besar bersungguh-sungguh insya Allah kita akan meneruskan dari semasa ke semasa tentang pencerobohan ini.
“Pelanggaran di bawah Enakmen Mineral ke, di bawah Kanun Tanah Negara ke, di bawah apa-apa pun dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, Enakmen Sumber Air 2007, apa-apa pun. Jadi kita akan kuatkuasakan,” katanya. -PAHANGMEDIA

