Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 OGOS 2025 : Pahang kekal sebagai antara pemain utama dalam sektor pertanian negara apabila merekodkan nilai jualan pertanian sebanyak RM25.12 bilion bagi tahun 2023, sekali gus menjadi penyumbang kedua tertinggi selepas Johor.
Perkara itu diumumkan sempena Majlis Pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Arena, Hotel Grand Darul Makmur, di sini hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak mewakili YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketua Perangkawan Malaysia, YH. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan interim ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian negeri ke arah pembangunan yang lebih mampan.

“Dengan adanya data yang tepat dan terkini, dasar serta intervensi yang lebih berkesan dapat dilaksanakan bagi mewujudkan sektor pertanian moden dan tahan lasak,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Tambahnya, subsektor tanaman menyumbang nilai jualan tertinggi sebanyak RM22.11 bilion atau 88 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti ternakan (RM1.21 bilion), perikanan (RM0.91 bilion), perhutanan (RM0.56 bilion), dan akuakultur (RM0.33 bilion).
Tambahnya, Cameron Highlands kekal mendahului pengeluaran sayur-sayuran negara dengan nilai jualan mencecah RM3.60 bilion.
Pahang juga menurutnya merupakan pengeluar utama kelapa sawit di Semenanjung Malaysia dengan jumlah jualan RM14.18 bilion yang didominasi daerah Rompin, Pekan dan Bera.
“Negeri ini turut mengungguli pengeluaran kenaf nasional (RM2.55 juta) serta muncul sebagai pengeluar nanas ketiga terbesar negara (RM173.30 juta).

“Dalam subsektor buah-buahan, Pahang mencatatkan nilai jualan kedua tertinggi nasional (RM2.65 bilion) hasil tanaman utama seperti durian (RM2.42 bilion, khususnya dari Raub), tembikai (RM51.98 juta), pisang (RM80.73 juta), nangka (RM20.35 juta) dan betik (RM9.01 juta).
“Bagi subsektor ternakan, negeri ini mencatatkan nilai jualan susu segar terbesar di Malaysia berjumlah RM47.25 juta, dengan 9.05 juta liter dihasilkan dengan sebahagian besarnya dari daerah Rompin,” ujarnya.
Menurutnya lagi, laporan interim yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pahang (DOSM Pahang) memberikan gambaran awal profil sektor pertanian negeri berdasarkan banci yang dijalankan ke atas 90,025 pegangan pertanian, melibatkan 87,482 pegangan individu dan 2,543 pegangan perusahaan.
DOSM dalam pada itu turut memperkenalkan sistem TaniStats sebagai pusat sehenti data pertanian serta MyAgroPrice untuk memaparkan harga semasa input dan komoditi pertanian. -PAHANGMEDIA

