Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 03 OGOS 2025 : Padang Stadium Darul Makmur yang telah selesai proses menaiktaraf rumput dibuka untuk kegunaan orang ramai bagi aktiviti sukan dan riadah bermula hari ini.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, permohonan bagi sebarang aktiviti sukan akan diuruskan oleh Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM).
“Hari ini saya merasmikan Padang Stadium Darul Makmur di mana Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan sebanyak RM1.1 juta bagi menggantikan padang lama dengan rumput baharu iaitu Bermuda.

“Saya dapat lihat tadi, padangnya sangat bermutu dan mendapat pengiktirafan daripada FIFA dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.6 juta.
“Bermula hari ini (dibuka bagi kegunaan awam), selepas kita rasmikan tadi. Akan diuruskan oleh Perbadanan Stadium dan mereka perlu mengemukakan permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Padang Stadium Darul Makmur di Stadium Darul Makmur hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengerusi Perbadanan Stadium Darul Makmur, Ybrs. Encik Izad Zainal Muhammad Safian; dan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Tuan Haji Zamri Hassan.
Beliau berkata proses menaiktaraf kemudahan di stadium akan diadakan secara berperingkat oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan ia dapat dinikmati oleh orang ramai.
“Kita akan buat secara berperingkat sebab padang itu lebih penting, kerusi itu kemudian. Dan usaha untuk naiktaraf ini tidak akan berakhir dengan kita tukar rumput sahaja tapi ia akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau turut melahirkan harapan dengan penambahbaikkan yang telah dilakukan di Stadium Darul Makmur ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kualiti para atlet di negeri ini.
“Saya berharap kita dapat melahirkan atlet-atlet kita yang berkualiti, bukan sahaja di peringkat negeri malah sampai ke peringkat kebangsaan,” katanya.
Padang Stadium Darul Makmur yang mula dinaiktaraf pada September 2024 diiktiraf sebagai padang rumput semula jadi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Program Kualiti FIFA bagi Permukaan Padang Semula Jadi dengan markah keseluruhan sebanyak 93 peratus. -PAHANGMEDIA

