Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 04 OGOS 2025 : Sebanyak 70 gerai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Pantai Timur (LPT) telah menerima pensijilan halal.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini merupakan bukti Kerajaan Negeri Pahang komited memperluas pelaksanaan pensijilan halal di seluruh negeri ini.
“Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Bahagian Pengurusan Halal telah berjaya membantu semua gerai-gerai di R&R Lebuh Raya Pantai Timur untuk diberikan pensijilan halal.
“Pensijilan halal ini telah menjadi satu dasar Pensijilan Halal Negara sebagaimana yang telah selalu disebut oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah mempromosikan dengan lebih agresif di seluruh dunia.

“Negeri Pahang ini ada 612 buah premis telah memiliki sijil halal, termasuklah di kantin-kantin Sekolah Agama dan alhamdulilah usaha ini berterusan juga apabila mendapat sambutan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila semua dapur di hospital telah memiliki sijil halal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Pelancaran Zon Halal di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Temerloh Arah Barat, hari ini.
Beliau juga berkata, usaha pensijilan halal ini bukan sahaja melibatkan pengusaha R&R, malah akan diperluaskan ke seluruh negeri lagi demi keselesaan para pengguna.
“Usaha ini bukan hanya tersasar kepada pengusaha R&R tetapi usaha ini telah dilebarkan ke luar sana.
“Hal ini kerana sijil halal ini bukan perkara yang berkaitan hanya dari sudut Islam tetapi ianya lebih luas apabila diperkenalkan halal ini kepada orang bukan muslim supaya mereka rasa selesa dengan sijil halal ini.
“Sekarang dah mudah, online sahaja. Semua panduan dah cukup. Apabila sudah mohon, barulah pihak pengurusan akan pergi pantau,” katanya. – PAHANGMEDIA

