Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 1 OGOS 2025 : Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) meraikan sambutan 60 tahun penubuhannya dengan penganjuran Majlis Doa Selamat dan Ceramah Perdana yang berlangsung penuh keberkatan di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota malam tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YH Dato’ Mohd Faizal Jaafar, pemilihan Bandar Indera Mahkota sebagai lokasi majlis disifatkan sebagai simbolik kerana ia merupakan antara projek pembangunan terawal yang dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
“Kita pilih di Masjid Tengku Ampuan Afzan ini kerana antara projek awal PKNP. Dulu Indera Mahkota ini adalah Atabara tetapi PKNP telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri untuk membuat pengambilan semula tanah. Kita membangunkan bandar Indera Mahkota ini.
“Majlis pada malam ini bukan semata-mata untuk kita mengenang perjalanan enam dekad PKNP ditubuhkan, tapi sebagai ruang untuk mempereratkan lagi hubungan diantara PKNP dan masyarakat.

“Sebenarnya tarikh 60 tahun kita sebenarnya pada 27 Disember 2025. PKNP ini ditubuhkan pada 27 Disember 1965 dengan niat dan harapan supaya ekonomi dan sosial ini membangun terutamanya bumiputera di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Doa Selamat dan Ceramah Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad sebagai wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang.
Turut hadir, Timbalan Mufti Pahang, YH. Dato’ Haji Badli Shah Alauddin yang menyampaikan ceramah perdana mengenai keikhlasan dalam bekerja dan peranan PKNP dalam pembangunan ummah serta negeri. -PAHANGMEDIA

