Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 28 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) merancang untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas peringkat negeri bagi membendung penularan penyakit itu yang dilihat semakin membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, langkah itu susulan peningkatan kes kusta di negeri ini dengan kadar jangkitan mencatatkan 6.23 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Kita dapati daerah Pekan mencatatkan kes tertinggi, diikuti Raub. Penyakit ini tidak boleh ditangani oleh JKNP sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan pelbagai agensi termasuk JAKOA, pejabat daerah, pejabat pendidikan dan lain-lain pihak berkaitan.
“Sebahagian besar penghidap kusta dikenal pasti dalam kalangan komuniti Orang Asli, jadi kerjasama erat dengan JAKOA dan agensi lain amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pahang Bilangan 1 Tahun 2025 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Tourism Pahang), di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas tentang mesyuarat berkenaan, antara perkara lain yang dicadangkan adalah supaya penfloridan dalam bekalan air bersih di negeri ini dilaksanakan semula.
Menurutnya, Pahang dan Perlis merupakan satu-satunya negeri yang belum melaksanakan penfloridan air awam, selepas pemberhentiannya pada tahun 2015.
“Ketiadaan penfloridan menyebabkan peningkatan kes karies gigi dalam kalangan penduduk. Justeru, kita berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan semula pelaksanaannya demi kesihatan oral rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, YB. Dato’ Ir. Razali turut melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Bukit Fraser, Klinik Desa Bukit Fraser dan Banglo Temerloh bagi meninjau tahap fasiliti dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada masyarakat setempat. -PAHANGMEDIA

