Oleh : Norhafizan Zulkifli
RAUB, 28 JULAI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kesihatan Negeri bercadang untuk menubuhkan sebuah Pusat Kanser Pantai Timur yang pertama dengan tapak cadangan terletak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, cadangan penubuhan pusat rawatan kanser khusus itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pahang Bil. 1 Tahun 2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (Tourism Pahang), di sini hari ini.

“Ini antara perkara yang kita bincangkan. Kerajaan Negeri, kita menyokong cadangan ini di mana tapak yang dicadangkan adalah di HTAA dengan keluasan tapak lebih kurang empat ekar (1.6 hektar),” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, Pantai Timur masih belum mempunyai pusat rawatan kanser yang komprehensif seperti mana yang telah lama wujud di zon utara, tengah, selatan serta Sabah dan Sarawak.
“Sekarang ini, satu-satunya pusat rawatan kanser di Pantai Timur ialah di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan.

“Kita lihat kadar peningkatan kes kanser baharu di Pantai Timur bagi tempoh 2011 hingga 2016 melebihi 3,000 kes, manakala di peringkat kebangsaan peningkatan sebanyak 12 peratus direkodkan,” ujarnya.
Justeru, katanya, kewujudan pusat tersebut bukan sahaja berupaya menampung peningkatan bilangan pesakit, malah turut mengurangkan beban pusat rawatan kanser di Lembah Klang.
Terdahulu, YB. Dato’ Ir. Razali turut melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Bukit Fraser, Klinik Desa Bukit Fraser dan Banglo Temerloh bagi meninjau tahap fasiliti dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada masyarakat setempat. -PAHANGMEDIA

