Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 09 JULAI 2025 : Penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang hari ini melahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap keperihatinan yang diberi kepada mereka.
Menurut Encik Muhammad Aziz Ramli, 55, sumbangan sebanyak RM 5,000 ini amat bermakna untuk kecemerlangan pelajar-pelajar Persatuan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Kuantan.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi sumbangan yang bermakna. Alhamdulillah bermakna untuk kami semua dan kami akan gunakan sepenuhnya untuk kecemerlangan pelajar khususnya di Sekolah Menengah Al-Maarif.
“Sumbangan yang diperoleh daripada Menteri Besar ini kami akan gunakan duit sumbangan tersebut untuk kecemerlangan pelajar-pelajar STAM (Persatuan Sijil Tinggi Agama Malaysia).
“Kita akan buat bengkel kecemerlangan untuk pelajar-pelajar STAM, khususnya di Sekolah Agama Al-Maarif,” katanya.
Sementara itu, bagi Puan R. Sivaneswari, 47, melahirkan rasa gembira apabila telah menerima sumbangan bagi membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan pada hari ini.

“Saya rasa gembira dan saya hargai Kerajaan Negeri membantu persatuan (Persatuan Didikan Kemajuan Pelajar-Pelajar India Negeri Pahang) yang menghadapi masalah dalam segi kewangan.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sumbangan ini. Jadi, Menteri Besar hargai pencapaian murid-murid dan sebab itu dia bagi sumbangan ini,” katanya.
Menurutnya dengan penerimaan sumbangan sebanyak RM10,000 akan digunakan untuk mengadakan Achievers Award bagi kecemerlangan pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Kerajaan Negeri Pahang hari ini menyalurkan bantuan berjumlah RM 548,590 kepada 29 penerima sempena Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang berlangsung di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail. -PAHANGMEDIA

