Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 21 NOVEMBER 2026 : Penganjuran Pahang Monsoon Beach Run 2026 bukan sekadar acara larian, malah menjadi platform mempromosikan keunikan Pantai Kempadang sebagai destinasi sukan dan pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, keindahan pantai berpasir halus dan kawasan pantai yang panjang itu mempunyai potensi besar untuk diketengahkan kepada masyarakat luar, khususnya menerusi penganjuran acara rekreasi.
“Ramai yang memuji keindahan Pantai Kempadang ini, pasirnya yang halus dan pantainya yang cukup panjang.
“Jadi, Pahang Monsoon Beach Run ini bukan semata-mata acara larian, tetapi kita juga mahu mempopularkan keunikan Pantai Kempadang kerana ramai sebenarnya yang dari luar Kuantan tidak mengetahui kelebihan dan keunikan pantai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pahang Monsoon Beach Run 2026 di Pantai Kempadang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran acara itu menggabungkan elemen sukan dan pelancongan, selain memberi kelainan apabila dilaksanakan ketika Monsun Timur Laut yang lazimnya menyaksikan kurang penganjuran aktiviti luar.
“Event ini ada dua, sukan dan pelancongan. Paling penting, Monsoon Beach Run ini dilaksanakan ketika Monsun Timur Laut.
“Kebiasaannya orang tidak buat acara ketika musim Monsun Timur Laut, tetapi Majlis Rekreasi Pahang melaksanakannya untuk membuktikan bahawa walaupun mungkin hujan, kita masih boleh bersukan dan menganjurkan program seperti ini,” katanya.

Mengulas lanjut, edisi sulung itu berjaya menarik hampir 1,000 penyertaan dari dalam dan luar Pahang, termasuk peserta dari Singapura, Thailand dan China.
Katanya, sambutan berkenaan membuktikan acara tersebut mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai program tahunan dengan penyertaan yang lebih besar pada masa akan datang.
“Edisi pertama pun sudah mendapat penyertaan hampir 1,000 orang.
“Saya difahamkan ada juga penyertaan dari Singapura, Thailand dan China.
“Untuk tahun hadapan kita akan buat lebih meriah dan sudah tentu ada perkara atau inisiatif tertentu yang boleh kita tambah baik berdasarkan penganjuran edisi pertama ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menambah wang tunai kepada pemenang bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Pahang menyertai acara larian dan aktiviti rekreasi.
Katanya, pemberian itu dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap kesungguhan peserta, khususnya golongan muda yang mencabar kemampuan diri menyertai larian sejauh tujuh dan 17 kilometer.
“Saya sendiri kagum sebab mereka bukan saja boleh menghabiskan larian 17 kilometer ini, malah cabaran berlari di tepi pantai berbeza daripada berlari di atas jalan.
“Yang paling penting, catatan masa mereka pantas. Jadi, kita mahu menggalakkan rakyat Pahang menyertai acara larian ini kerana ia bukan soal pertandingan semata-mata,” katanya. -PAHANGMEDIA

