Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 23 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM8 juta kepada mahasiswa dari Negeri Pahang melalui pemberian RM400 seorang dibawah Inisiatif Makmur Pahang.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, inisiatif yang memberi manfaat kepada 20,000 pelajar yang menuntut di institusi pendidikan tinggi di dalam dan luar negara ini telah dilaksanakan sejak 2022.

“Hari ini Kerajaan Negeri menyumbang RM400 secara one-off kepada siswa siswi daripada Pahang dan juga kepada anak-anak yang belajar di Pusat Permata Pintar Negara seramai 28 orang.
“Ini telah bermula dari tahun 2022 sehingga hari ini dan kita telah memperuntukkan sebanyak lebih kurang RM26 juta, dan untuk tahun ini sahaja sebanyak RM8 juta Kerajaan Negeri peruntukkan untuk program ini.
“Dan ini adalah satu program yang berterusan sebagai membantu kepada anak-anak kita yang sedang belajar kerana kita tahu sebagai siswa siswi mereka memerlukan bukan sedikit kewangan dan ini dapat meringankan sedikit beban kewangan mereka semasa belajar,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga akan menambah jumlah bantuan yang diberikan serta kategori penerima bantuan tetapi ia bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.
“Dulu kita bagi RM300, sekarang ini kita naikkan kepada RM400 dan insyaAllah kita akan bertambah bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. Dan lazimnya kedudukan kewangan Negeri bertambah baik, kita akan tambah.

“Kita beri juga kepada pelajar Permata Pintar kerana kedudukan kewangan negeri kita bertambah baik dan kita rasa mampu memberikan sumbangan kepada mereka.
“Kita sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, cakna, kita kalau boleh kita tak mahu siapa pun tertinggal atau tercicir di dalam arus pembangunan negeri, bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa Tahun 2025 di Auditorium Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim; dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal. -PAHANGMEDIA

