Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 23 JUN 2025 : Kursus Pengukuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu dan Komunikasi Strategik Negeri Pahang yang melibatkan pegawai media dari pelbagai agensi dan jabatan seluruh negeri ini menekankan peranan mereka dalam menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, kursus ini juga menjadi platform penting untuk memperkukuh kefahaman pegawai media dan komunikasi mengenai hala tuju pembangunan Kerajaan Negeri Pahang.

“Melalui retreat (kursus) ini kita nak bagi kefahaman kepada pegawai-pegawai media dan komunikasi yang terlibat memilih agensi masing-masing berkenaan dengan hala tuju Kerajaan Negeri Pahang nak membangun dan memajukan negeri ini dalam berapa tempoh atau tahun yang mendatang.
“Selain daripada itu, kita juga nak mencari kesepakatan dan kerjasama daripada pegawai-pegawai media daripada agensi-agensi ini untuk sama-sama menyebarkan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri Pahang yang telah sememangnya menyajikan pelbagai usaha yang pelbagai untuk setiap segmen yang ada dalam masyarakat di negeri ini.

“Dan yang paling penting, kita nak minta pegawai-pegawai media dan komunikasi ini untuk membantu kita untuk menangkis berita-berita palsu dan fitnah yang banyak disebarkan dalam media sosial yang menidakkan usaha serta inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Kursus Pengukuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu dan Komunikasi Strategik Negeri Pahang yang dianjurkan Unit Komunikasi dan Strategik Negeri Pahang dijalankan selama dua hari bermula hari ini di Hotel Rocana turut dihadiri Pengarahnya, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer. -PAHANGMEDIA

