Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 24 JUN 2025 : Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) bukan sekadar dokumen dasar semata-mata, sebaliknya perlu diintegrasikan dalam setiap aspek tadbir urus negeri termasuk mesyuarat, pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pembentangan belanjawan serta laporan kemajuan agensi.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan holistik ini penting agar hala tuju pembangunan negeri dapat diterjemahkan secara tersusun, inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat.
“PET30 bukan semata-mata pelan atas kertas. Ia mesti diintegrasikan dalam semua mesyuarat, pemantauan KPI, belanjawan dan laporan agensi.
“Semua rakan-rakan exco adalah pemacu pelaksanaan dan rakyat tidak menuntut keajaiban, mereka mahukan keikhlasan, ketelusan dan kecekapan. Dan inilah yang perlu kita buktikan melalui PET30.
“Oleh itu marilah kita bersama-sama bergerak ke hadapan dengan kesepaduan, kesungguhan dan rasa tanggungjawab untuk melakar masa depan Pahang yang lebih makmur, lestari dan bersatu padu,” katanya ketika berucap bagi merasmikan Bengkel Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) di Geo Resort & Hotel, Genting Highlands, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN), YB. Tan Sri Dato’ Sri Mohamed Nazir Tun Dato’ Indera Haji Abdul Razak; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta pegawai kanan kerajaan negeri.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menekankan bahawa kemajuan tidak boleh hanya bersandarkan kepada infrastruktur semata-mata, tetapi memerlukan pelaksanaan yang jelas, tangkas dan terkoordinasi.
“Selain itu kejayaan kita juga bergantung kepada kestabilan politik. Apa yg kita rancang pada hari ini seperti ECRL, Pelabuhan Kuantan dan LTU (Lingkaran Tengah Utama) serta macam-macam lagi kita buat, kalau tidak ada kestabilan politik, ianya akan terganggu,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan PET30 perlu digerakkan melalui budaya penyampaian yang cepat, responsif dan mesra rakyat, kerana kepercayaan kepada kerajaan lahir daripada pengalaman harian rakyat itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua Ahli MMK dan ketua jabatan agar menyemak semula keutamaan dalam portfolio masing-masing serta mengenal pasti inisiatif yang mampu memberi impak besar dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dalam Indeks Kebahagiaan Negara 2024, Pahang berada pada kedudukan ke-5 tertinggi, dengan kekuatan dalam aspek kekeluargaan dan kehidupan beragama. Ini adalah cerminan nilai sebenar kemajuan yang kita perjuangkan.
“Jadi PET30 perlu mengangkat pertumbuhan yang berpaksikan rakyat bukan sekadar menambah peluang pekerjaan, tetapi memastikan pekerjaan itu berkualiti, bermaruah dan mempunyai nilai tambah.
“Kita mesti merapatkan jurang pembangunan antara daerah dan komuniti, dari bandar hingga ke FELDA, kampung Orang Asli dan kawasan pedalaman. Akses kepada perumahan selesa, pendidikan, air bersih dan liputan digital mesti dijadikan prioriti,” katanya.
Menyentuh potensi negeri, beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap keunikan Pahang yang kaya dengan pelbagai tarikan semula jadi dan budaya.
“Pahang ini apa sahaja yang tidak ada. Kita ada pulau yang cantik, Gunung Tahan, gunung yang paling tinggi di Semenanjung Malaysia, cuaca yang baik di Cameron Highlands, makanan tradisional yang sedap. Itulah hebatnya negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

