Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 27 APRIL 2025 : Program Moh Balik Kampung Wan Bera merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang mendedahkan anak-anak dari Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom (RKKSHK) kepada kehidupan bermasyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan, program yang julung kali diadakan ini dilihat dapat memberi persediaan kepada anak-anak ini menghadapi dunia luar.
“Hari ini kita ada 34 anak-anak dari Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom telah berkunjung ke Bera khasnya ke kawasan Guai selama dua hari tiga malam.
“Anak-anak ini melakukan aktiviti desa seperti melawat sawah padi, mengemping, selain dibawa melawat PAWE (Pusat Aktiviti Warga Emas) di Bera. Ia merupakan program yang pertama sekali diadakan. Kita cuba bantu anak-anak ini dari segi sosial.

“Kita tak mahu mereka hanya duduk di dalam institusi kerana ada di antara mereka yang akan meninggalkan institusi tersebut dalam tempoh setahun dua lagi. Jadi kita kenalkan mereka dengan orang luar supaya bila keluar nanti tak adalah mereka rasa kekok,” katanya.
Tambah beliau, program seumpama ini juga dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak dari RKKSHK dan warga kampung serta orang tua yang berada di PAWE.
“Alhamdulillah sambutan daripada orang kampung dan tempat yang mereka lawati amat menggalakkan. Dan anak-anak sendiri gembira dan teruja dengan program ini.
“Insya-Allah selepas ini kita akan cuba bawa lagi dan lokasi seterusnya yang kita rancang adalah kawasan YAB Menteri Besar Pahang, Tok Wan.
“Untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan kita tak janji tetapi kalau ada rezeki kita akan buat memandangkan program hari ini disumbang sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

